Skip to main
Logo Malaysiakini

Konsert Nasyid Legenda diharap cetus kegemilangan genre kerohanian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beberapa nama besar kumpulan nasyid dihimpunkan untuk beraksi di atas satu pentas bagi mengenang jasa generasi awal genre itu melalui konsert Nasyid Legenda yang bakal berlangsung 29 Oktober ini.

Pengarah konsert dan anggota In Team, Muhammad Hazamin Harun memaklumkan, idea untuk menganjurkan konsert tercetus selepas pihaknya membentangkan cadangan untuk memohon Dana Muzik Malaysia daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Alhamdulillah, permohonan kami untuk mendapatkan Dana Muzik Malaysia yang dulu disebut Dana Kandungan Digital diluluskan manakala dari segi lokasi, mendapat tajaan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Konsert membawa slogan Kembali Bersinar itu sebagai tribute bagi mengenang jasa penyanyi nasyid yang berkecimpung sejak tahun 1970-an seperti Al Jawaher, Al Mizan dan seangkatan dengannya.

“Untuk penyanyi nasyid era 1980-an pula seperti Nadamurni dan The Zikr manakala fasa ketiga, 1990-an hingga kegemilangan nasyid kontemporari seperti Raihan, Hijjaz, Brothers dan lain-lain,” ujarnya.

Hazamin menambah, konsert Nasyid Legenda 2022 itu juga diadakan bersempena 25 tahun nasyid kontemporari berada di persada muzik Malaysia.

Bagi pemilihan artis, katanya, ia dibuat berdasarkan pembabitan mereka dalam tiga album yang pernah diterbitkan Inteam Records.

“Ia dibuat berdasarkan tiga album yang diterbitkan Inteam Records iaitu Nasyid Legenda melibatkan Akhil Hayy, manakala Nostalgia Nada Murni pula mengundang kumpulan Rabbani dan Memori The Zikr menampilkan Nazrey Johani.

“Kami ada mengundang Raihan, namun mereka tidak dapat hadir disebabkan terlibat dengan konsert Garis Masa Raihan yang akan diadakan pada 26 November depan,” tuturnya yang ditemui baru-baru ini pejabat MBSJ.

Untuk rekod, Hazamin memaklumkan, setakat ini penjualan tiket berjalan lancar dan hampir habis ditempah.

Ditanya mengenai keistimewaan Nasyid Legenda 2020, Hazamin menjawab konsert itu bakal membawa sesi penghargaan kepada anggota kumpulan Rabbani, Allahyarham Asri Ibrahim.

Katanya, penonton akan turut disajikan dengan segmen deklamasi puisi dan lakonan sketsa sebagai memeriahkan lagi acara malam itu.

“Sebanyak 20 lagu akan dipersembahkan termasuk medley pada malam tu, diiringi lapan hingga 20 pemuzik.

“Selain persembahan nasyid diiringi pemuzik iringan, penonton akan turut dihiburkan dengan bacaan puisi oleh pembaca puisi terkenal iaitu Dinie Juri serta lakonan sketsa daripada Persatuan Kebajikan Sahabat Nada Murni,” jelasnya.