Skip to main
Logo Malaysiakini

Tom GV9 menyesal buat tatu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi Tom yang juga peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) mengakui menyesal membuat cacah pada beberapa bahagian di tubuh badannya.

Menurut Tom, disebabkan tatu itu juga ramai beranggapan dia bukan Muslim sebaliknya mualaf.

“Saya tak bangga pun dengan benda (tatu) itu. Ia adalah khilaf lama yang tak boleh padam. Saya menyesal sebab buat tatu ini.

“Ia sudah lama ketika saya senyap daripada industri muzik. Ketika itu tak berfikir panjang. Tengok kawan-kawan ada, saya pun nak buat juga.

“Benda lama saya malas nak fikir dah hinggakan orang cakap saya bukan Islam. Malah ramai bertanya saya ni mualaf ke? Diakui saya bukan orang Islam yang baik, tapi saya cuba berubah,” ujarnya.

Terdahulu, rakaman video yang dimuat naik di TikTok, memaparkan Tom memiliki tatu di bahagian lengan.

Pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram itu, juga mengakui tindakan melukis tatu itu atas kehendaknya sendiri dan bukan disebabkan kurangnya ajaran ibu bapa.

“Apa saya buat, ia salah saya sendiri. Bukan salah sesiapa atau didikan ibu bapa. Saya terima kalau ada yang nak kecam. Saya tak boleh salahkan mereka,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurut Tom yang pernah menjuarai program My Starz LG musim ketiga pada 2010, dia membuat tatu itu kerana tidak memikirkan dia bakal kembali memeriahkan industri hiburan tanah air.

“Apa boleh buat, ia memang sesuatu yang buruk pun. Macam dikatakan, saya tak salahkan netizen yang melihat sebab itu penampilan saya ketika membuat persembahan di tepi pantai di Langkawi.

“Dulu tak terfikir akan membuat kemunculan semula. Tak nak ambik tahu pun semua itu. Selama ini saya menjalani kehidupan seperti orang biasa. Apatah lagi selama empat tahun di Langkawi, saya macam orang lain yang duduk tepi pantai.

“Sekarang ini, saya lebih tertutup. Saya cuba untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Tidak menjangka sama sekali perhatian dan sambutan diberikan kepada saya selepas sidang media GV tempoh hari,” katanya.