Skip to main
Logo Malaysiakini

Yonnyboii puas 'lagu sampah' bawa tuah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yonnyboii mengakui cukup berbangga apabila karya yang disifatkannya “lagu sampah” membolehkan dia membawa pulang gelaran Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 malam tadi.

Penyanyi hip hop itu berkata, album Yonny (Deluxe Version) sebenarnya adalah sebuah karya yang dihasilkannya sekadar untuk suka-suka malah dibikin pula dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya sangat gembira dan tak sangka akan menang kerana saingan semuanya hebat. Malah saya tak terfikir pun akan menang.

“Album ni dihasilkan secara suka-suka. Saya pun tak letak sasaran apa-apa sebenarnya. Sejujurnya lagu-lagu dalam album ni saya kategorikan sebagai lagu ‘sampah.’

“Rakaman dibuat di rumah pada waktu perintah kawalan pergerakan (PKP). Masa tu alat pendingin hawa pun tak ada lagi. Tapi saya bangga selepas segala susah payah yang dilalui, akhirnya ia membuahkan hasil,” katanya.

Mengulas lanjut, pemilik nama asal Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu berkata, album berkenaan adalah tempat himpunan lagu yang yang asalnya diasingkan untuk memberi tumpuan kepada karya lain.

Namun, dia tidak dapat menolak untuk menyiapkan karya itu atas permintaan daripada label yang menginginkannya segera.

“Album ni adalah himpunan lagu yang saya letak tepi dulu kerana mahu menumpukan perhatian kepada penghasilan single baru.

“Tapi disebabkan label meminta saya untuk menyiapkan lagu-lagu lama ini dan dijadikan sebuah album, saya pun akur.

“Ni album paling cepat pernah saya siapkan. Ia dihasilkan dalam tempoh dua bulan. Proses pembikinan buat sendiri, lagu tulis sendiri, tapi untuk susunan muzik, minta bantuan pasukan saya,” katanya.

Yonnyboii berkata demikian pada acara kemuncak AIM23 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Melalui Album Terbaik itu, Yonnyboii mengketepikan empat calon lain iaitu Di Persiaran Cakrawala (Ramayan), Tuju Untuk kamu 18/19 (Tuju), Second Voyage (Sekumpulan Orang Gila) dan Sesudah Melakar Langit (A.Limin).

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Yonnyboii membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif dan galakan kepada penggiat industri kreatif.

Selain dicalonkan untuk kategori Album Terbaik, album tersebut juga dicalonkan dalam kategori Rakaman Album Terbaik.

Yonnyboii, 24, berharap dengan kejayaan diraihnya itu, dia dapat menjadi contoh kepada bakat-bakat baru supaya tidak mudah putus asa untuk mengejar impian.

Dia juga menasihat penggiat seni supaya tidak berputus asa untuk terus berkarya.

“Kepada sesiapa pun penggiat seni di luar sana, ingatlah tiada apa yang mustahil untuk kita capai.

“Walaupun tak semua orang faham hasil seni kita, tapi percayalah, bakat kita tu tetap ada. Jadi, berkaryalah dengan penuh kebebasan.

“Kejayaan yang saya kecapi bukti kita boleh melakukan sesuatu walaupun ada yang melabelkan saya penyanyi one hit wonder ataupun tidak laku,” tuturnya.