Skip to main
Logo Malaysiakini

Abang Long Fadil kutip RM10 juta lepas 4 hari tayangan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Filem komedi aksi, Abang Long Fadil 3 yang ditayangkan di pawagam secara rasmi sejak 8 September lalu, berjaya meraih kutipan RM10 juta setakat jam 12 tengah hari ini.

Sambutan baik itu membuktikan penonton masih meletakkan kepercayaan pada karya-karya tempatan dan sekaligus menandakan industri filem Malaysia akan kembali meriah.

Wakil penerbit Abang Long Fadil 3 dan merangkap Pengarah Skop Productions, Yusof Haslam berkata, dia bersyukur atas sambutan memberangsangkan filem berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah. Sebagai penerbit, tentunya keutamaan kami mempersembahkan naskhah yang dihasilkan ini mampu diterima serta memberi nilai hiburan kepada penonton.

“Sejak ditayangkan, kami menerima pelbagai reaksi daripada penonton selepas menyaksikan Abang Long Fadil 3 dan kami amat berterima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Filem mendapat arahan Syafiq Yusof itu menyaksikan Fadil kembali dengan misi terbaru yang lebih berprofil tinggi.

Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra atas dendam dahulu.

Abang Long Fadil 3 - yang kini sedang ditayangkan di pawagam tanah air - menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Zizan Razak, Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin, AC Mizal, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman dan Siraj.