Skip to main
Logo Malaysiakini

32 penyanyi, muzik guna mahkamah tuntut royalti dari Prism

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Buat julung kali, lebih 30 penggiat seni - merangkumi penyanyi dan pemuzik - memfailkan notis usul beserta afidavit bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memulakan tindakan saman ke atas badan pelesenan, Performers Rights and Interest Society of Malaysia Bhd (Prism).

Notis usul dan afidavit difailkan 32 orang penggiat seni melalui firma Teruan Kamarulzaman Arif & Sofiah pada 9 Sept lalu itu juga dibuat bagi menuntut pembayaran royalti daripada badan pelesenan terbabit.

Menurut Wakil Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofian, Kamaruzaman Muhammad Arif, bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan satu kali dalam tempoh setahun berdasarkan perlembagaan Prism.

“Namun, tiada sebarang pengagihan dibuat kepada penyanyi dan pemuzik sehingga kini walaupun dituntut antara 2017 hingga 2021.

“Tindakan ini untuk mendapatkan pengisytiharan terhadap wang royalti dikutip. Jika wang kutipan tak diagihkan dengan betul dan proses kutipan tidak mengikut lunas perundangan, ia boleh disabitkan dengan kesalahan," katanya dipetik BH Online hari ini.

Tambah Kamaruzaman, ia merupakan langkah pertama mereka dan tidak menolak kemungkinan akan ada langkah susulan diambil selepas ini.

Katanya, mereka mahu mengesan ke mana perginya wang royalti yang sepatutnya dibayar, selain kenapa ia tidak diagihkan.

"Jika duit sudah habis, ke mana ia pergi dan sekiranya dibelanjakan, siapa yang mengawal selia.

"Adakah perbelanjaan itu sah dari segi undang-undang? Kami juga ingin tahu bagaimana pengiraan royalti dan sistem apa yang digunakan” katanya.

Antara penggiat seni memfailkan notis usul dan afidavit itu ialah Jamal Abdillah, DJ Dave, Sham, S Atan, Aris Ariwatan, Ibnor Riza, Azharina Azhar, Ezlynn, Julian Blues Gang, Renggo Arrow, Ali Terra Rossa, Ajin Blackrose, Norshila Amin, Nai Dinamik, Beego, Razis Ismail dan Leina Hangat.

Konflik royalti Prism tercetus selepas berlaku pertikaian perundangan di antara Public Performance Sdn Bhd (PPM), Recording Industry Malaysia (RIM) dan Prism.

Susulan itu, melalui perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2018 segala urusan pentadbiran Prism dikawal selia Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Konflik itu turut menjejaskan pengagihan kutipan royalti dalam kalangan ahli Prism.

Tambah Kamaruzzaman, pihaknya menolak sekiranya defendan ingin menyelesaikan perkara berkenaan di luar mahkamah.

“Kami gunakan jalan perundangan untuk mendapatkan pencerahan dan jawapan. Ini kerana plaintif mahu menuntut hak mereka dikembalikan.

“Agensi diamanahkan itu dilihat gagal mengagihkan royalti dalam tempoh lima tahun. Jalan penyelesaian terbaik adalah selesai di mahkamah.

“Ini bukan saja perjuangan 32 ahli yang bersetuju memfailkan notis usul dan afidavit, tapi juga mampu memberikan manfaat kepada 1,632 ahli Prism lain dan golongan pelapis,” katanya.