Lepas diperolok, Adi Putra 'nasihatkan' Fahmi Reza
Gara-gara gambarnya bersunting untuk berada bersebelahan dengan bekas perdana menteri, Najib Razak, untuk dijadikan bahan jenaka, Adi Putra menyindir pembuat imej tersebut, Fahmi Reza.
Kata pelakon itu, jika seseorang itu mahu bermain politik, biarlah ia dilakukan "secara matang".
“Politik biarlah matang @kuasasiswa.
“Allah adalah kekuatan kita. Untuk mencari kekuatan, carilah Allah. Itulah perbezaan antara akal dan nafsu,” ujarnya di Instagram hari ini.
Pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu merujuk kepada imej dirinya bersama Najib tetapi disunting menjadi seolah-olah poster filem Mat Kilau untuk tayangan platform penstriman Netflix.
Cuma, poster itu tidak menggunakan tajuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebaliknya Mat Sakau, gelaran yang sering dirujuk kepada Najib ekoran sabitan kes jenayahnya di mahkamah.
Anggap promosi juga
Melalui perkongsian dimuat naik itu, Fahmi 'mengajak' orang ramai menonton Mat Sakau di Netflix.
“Tengok Netflix malam ni, lebih bagus daripada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan," tulis aktivis terbabit.
Pada paparan imej itu diselitkan pula sinopsis ‘filem’ Mat Sakau.
“Selepas menyeleweng jutaan ringgit, bekas perdana menteri Najib Razak akhirnya dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman 12 tahun,” kata keterangan pada poster berkenaan.
Najib merupakan bekas perdana menteri pertama di Malaysia yang dipenjarakan oleh mahkamah selepas dia didapati bersalah menyelewengkan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai 2020.
Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang pada hari sama.
Untuk rekod, Adi, 41, adalah bintang utama yang menerajui filem diinspirasi daripada kisah pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajahan British, Mat Kilau Imam Rasu atau Mohamed Ibrahim.
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya meraih kutipan pecah panggung hampir RM100 juta mula ditayangkan di Netflix sejak 16 Sept lalu.
Sehari kemudian, sebahagian penonton Netflix mengkritik hebat filem arahan Syamsul Yusof itu kerana dikatakan kurang sempurna dari segi babak aksi, dialog dan sinematografinya.
Walaupun namanya dipetik menjadi bahan satira, Adi tetap berterima kasih kepada Fahmi.
Katanya, pereka grafik itu tetap membantu dari sudut promosi filem berkenaan di Netflix secara tidak langsung.
“Apa pun, terima kasih promosi gambar saya dan filem asal.
“Al-Fatihah buat almarhum Mat Kilau Imam Rasu. Takbir,” ujarnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai