Skip to main
Logo Malaysiakini

Kemelut tuntutan tanah lot Aishah selesai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada istilah tamak, kata penyanyi Aishah, sebaliknya dia cuma menuntut sebidang tanah lot banglo yang patut menjadi haknya selepas dijanjikan sebegitu bertahun-tahun lalu.

Dia juga bersyukur kerana selepas lima tahun tuntutan membabitkan hadiah selaku juara program Gegar Vaganza 4 (GV4) pada 2017 itu berlangsung, akhirnya kedua-dua pihak menemui jalan penyelesaian.

“Ini bukan cerita mengenai tamak atau minta melebihi apa yang dihebahkan.

“Apa hadiah yang dikongsikan itu saja yang kami tuntut. Malangnya perkara ini perlu berjalan selama bertahun-tahun dan akhirnya baru selesai,” katanya.

Justeru, dia berharap apa yang berlaku menjadi peringatan kepada semua pihak yang terbabit.

“Saya harap apa yang berlaku ini menjadi peringatan kepada semua pihak yang berkenaan.

“Saya buat semua ini supaya bakal-bakal penaja tunaikan apa dijanjikan,” katanya dipetik Harian Metro.

Pada GV4, Aishah dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik Liza Hanim dan Lan Solo.

Kemenangan itu melayakkan penyanyi Janji Manismu itu membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 beserta piala.

Bagaimanapun timbul isu apabila penaja tidak memenuhi apa yang dijanjikan sebaliknya mahu memberi sebidang tanah yang saiznya lebih kecil berbanding lot banglo itu.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57, berkata, pada awal dia enggan kes terbabit dibawa ke mahkamah.

Namun, demi menuntut hak yang dijanjikan dia terpaksa berbuat demikian.

“Jika ikut hati saya tak mahu kes ni dibawa ke mahkamah tapi apabila saya cuba berunding dengan pihak penaja selepas lapan bulan dari tarikh kemenangan, mereka minta diberikan masa.

“Saya tunggu dan beri masa lebih kurang enam bulan.

Malangnya ketika saya hubungi selepas tu tiada sebarang jawapan daripada pihak berkenaan jadi saya terpaksa teruskan kes ni di mahkamah,” katanya.

Peguam yang mewakili Aishah iaitu Mohammad Izwan Azmi menjelaskan, pihak penaja hadiah tampil dengan satu dokumen tawaran penyelesaian dan dipersetujui oleh Aishah..

“Tahniah kepada Aishah, kes selesai. Terdapat 'proposal settlement' daripada pihak penaja dan Aishah sendiri sudah bersetuju.

“Ada bayaran yang perlu dibuat dan beberapa tindakan perlu dilakukan oleh pihak penaja,” katanya.