Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit resah K-KOMM masih membisu isu perolehan program RTM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menzahirkan perasaan bimbang kerana hingga hari ini masih tiada lagi keputusan perolehan rancangan televisyen (TV) swasta oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut Presiden PVTM, Jurey Rosli, kerisauan itu membabitkan kira-kira lebih 2,000 syarikat yang menyertai pitching diadakan sekitar Jun tahun lalu.

“Setiap tahun RTM secara akan membuat perolehan dua kali untuk rancangan swasta tapi tahun ni hanya sekali dan ini membimbangkan PTVM kerana majoriti ahli bergantung kepada perolehan program TV di RTM,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Menurut Jurey, PTVM berharap kerajaan lebih prihatin dalam memastikan peruntukan yang secukupnya diberi kepada RTM bagi memastikan stesen itu menyiarkan program terbitan syarikat tempatan seterusnya membantu perkembangan industri kreatif negara ini.

Katanya, setiap tahun PTVM membangkitkan isu peruntukan perolehan pembelian rancangan TV di RTM dengan memohon Kementerian Kewangan dan perdana menteri memperuntukkan bajet yang secukupnya bagi menampung tiga saluran RTM.

“Pada sesi libat urus industri kreatif bersama Timbalan Menteri Kewangan, Indera Mohd Shahar Abdullah baru-baru ini juga PTVM memberikan cadangan penambahan bajet di RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta cadangan ekosistem yang mampu memacu industri kreatif menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar,” ujarnya.

Justeru katanya, PTVM sangat berharap kerajaan melalui K-KOMM memandang serius isu perolehan ini dengan mempercepatkan pengumuman syarikat yang terpilih agar mereka dapat meneruskan kesinambungan hidup.

“Harapan kami RTM dapat membuat perolehan sebanyak dua kali setahun supaya lebih banyak syarikat dapat peluang untuk terlibat membekalkan program kepada RTM.

“PTVM juga berharap menteri mengkaji semula sistem perolehan dengan mewujudkan kaedah perolehan yang lebih efektif seperti klasifikasi syarikat A,B dan C sepertimana yang dilakukan dalam industri pembinaan oleh CIDB berdasarkan rekod, kemampuan kewangan dan kepakaran syarikat.

"Ini bagi memastikan syarikat yang mendapat perolehan RTM dapat menerbitkan program yang berkualiti sesuai dengan bayaran tinggi yang dibuat RTM,” katanya.