Skip to main
Logo Malaysiakini

Noraniza nafi jadi duta projek rumah kontroversi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris menafikan terbabit dalam isu projek Skim Rumahku Syurgaku (RKSK) yang kini dihimpit kontroversi.

Tegas Noraniza, dirinya tidak dilantik secara rasmi sebagai duta projek terbabit kerana tiada sebarang perjanjian hitam putih dibuat dengan syarikat pemaju tersebut.

“Kami bertemu dalam sebuah majlis tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Johor pada Ramadan lalu.

“Apabila individu terbabit mengetahui saya seorang artis, dia terus melamar saya sebagai duta untuk projek rumah di bawah kendaliannya.

“Disebabkan saya aktif kerja-kerja kebajikan saya terima pelawaan tu secara lisan tanpa sebarang dokumentasi kerana hasrat saya untuk bantu rakan artis veteran yang tiada rumah dan tiada kerja untuk mendapatkan rumah,” katanya.

Noraniza, 54, menyifatkan dirinya sebagai mangsa keadaan malah langsung tidak menjangka akan terpalit kecaman kerana perkenalan itu dibuat melalui orang yang dipercayai iaitu rakan kongsinya sendiri.

Penyanyi itu juga mendakwa, namanya terus ‘digugurkan’ sebagai apabila dia berusaha mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu selepas tular isu terbabit di media sosial.

“Apa yang berlaku ialah saya telah menjadi mangsa keadaan. Saya tak menjangka perkara ni akan berlaku kerana kami dipertemukan oleh rakan kongsi saya,” jelasnya.

Noraniza berkata demikian pada sidang media khas diadakan di sebuah hotel di ibu kota malam ini.

Terdahulu, pemaju hartanah memperkenalkan skim RKSK dengan menawarkan rumah berharga RM500,000 kepada penggiat seni atas nama CSR.

Noraniza ditampilkan sebagai duta pelancongan seni dan budaya serta pemegang amanah menerusi skim yang disebut khidmat sosial amal jariah bagi membantu ummah itu.

Penggiat seni dikatakan hanya perlu membayar RM10 untuk urusan penyerahan unit kediaman dengan harga terbabit.

Namun, jika mereka ingin mendapatkan rumah berharga RM1 juta, mereka hanya perlu membayar RM10,000.

Bagaimanapun, kata Noraniza, dari awal lagi dia sudah berpesan kepada rakan artis untuk tidak membayar lebih daripada RM10 kepada individu terbabit.

Menurut penyanyi Hati Kama itu, dia turut mengingatkan selebriti yang berminat dengan projek tersebut supaya mendapatkan maklumat terperinci skim itu supaya tidak ada perkara yang berbangkit di kemudian hari.

“Saya juga berpesan kepada mereka supaya tidak membayar melebihi RM10 kerana wang tersebut akan disalurkan ke akaun peribadi pihak terbabit.

“Sekiranya mereka membayar lebih daripada RM10, itu atas tanggungjawab mereka sendiri.

“Lagipun saya tak mengetuai projek tu sebaliknya hanyalah sebagai pemudah cara kepada rakan-rakan artis,” ujarnya.