Skip to main
Logo Malaysiakini

Usaha kumpul dana buat dua filem masih tak capai sasaran

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua filem tempatan yang bergantung kepada pengumpulan dana bagi menyiapkan projek itu gagal mencapai jumlah kutipan yang diinginkan.

Menurut Pengarah Urusan Kuman Pictures dan pengarah filem Amir Muhammad, sasaran kutipan yang diperlukan untuk filem Pendatang adalah RM300,000.

Namun, katanya, hingga semalam, jumlah yang berjaya dikumpulkan hanyalah RM161, 637.

Justeru, Amir berkata, Pendatang berdepan risiko sama ada ditangguh sekiranya tidak mencapai sasaran atau dibatalkan terus memandangkan tarikh akhir pengumpulan dana semakin hampir, iaitu 6 Okt ini.

“Kami berharap stereotaip yang melabel rakyat negara ni gemar melakukan perkara di saat akhir adalah benar.

“Pada waktu ini, saya dimaklumkan ada segelintir pihak ingin menyumbangkan dana, namun masih belum berbuat demikian mungkin atas sebab-sebab tertentu,” katanya ketika ditanya usahanya yang terakhir untuk dia menyelamatkan filem berkenaan.

Amir menjelaskan mereka perlu bergantung kepada pengumpulan dana untuk membuat filem berkenaan kerana ia akan ditayangkan secara percuma dan adalah cerita Malaysia untuk rakyat negara ini.

Pendatang merupakan filem thriller dystopian yang mengisahkan masyarakat pelbagai kaum yang hidup terpisah-pisah oleh faktor undang-undang.

Amir Muhammad

Ia berkisahkan sebuah keluarga etnik Cina yang berpindah ke rumah baru mereka. Namun, mereka menemui seorang gadis Melayu yang bersembunyi ketakutan di dalam rumah tersebut.

Keluarga berkenaan berdepan dilema dengan apa perlu dilakukan terhadap gadis yang dilabel ‘pendatang’ atau orang luar itu.

Filem itu diarahkan oleh Ng Ken Kin manakala lakon layar oleh Lim Boon Siang. Filem berkenaan diterbitkan oleh Kuman Pictures.

Kata Amir, pihaknya hanya menyerah kalah jika tiba saat akhir usaha kutipan dijalankan.

Sementara itu, sebuah lagi filem bergenre dokumentari, iaitu Don't Rock The Boat - arahan Mogan Selvakannu - memerlukan dana sebanyak RM8,700 lagi untuk mencapai jumlah sasaran RM15,000 sebelum tarikh akhir kutipan pada 15 Okt ini.

Mogan berkata, setakat ini dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM8,000 ekoran gagal mengumpul dana yang diperlukan.

“Setakat ini, kempen jumlah terkumpul adalah RM6,300 dalam tempoh 10 minggu. Itu adalah 42 peratus daripada sasaran kempen iaitu sebanyak RM15,000," katanya.

Don’t Rock the Boat’ meneroka secara visual dan mempersoalkan perasaan kekitaan dan perasaan di rumah dalam kalangan masyarakat India di negara ini pada abad ke-21.

Mogan Selvakannu

Ia menggambarkan realiti dan pengalaman hidup kumpulan minoriti tersebut melalui sejarah, ingatan dan identiti.

[Baca berita penuh]