Skip to main
Logo Malaysiakini

Henti kecam Ashira kononnya tinggalkan suami tak berkaki - Bad

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas lama mengunci mulut, penyanyi Bad dari kumpulan Indigo akhirnya tampil membuat pengakuan bahawa perceraian antara dia dengan Ashira Aziz berpunca daripada sikapnya yang tidak jujur selama ini.

Katanya, disebabkan sikap pentingkan diri, dia merahsiakan penyakit yang dihidapi kerana bimbang akan kehilangan penyanyi itu.

“Bukan salah Ashira, tapi saya. Saya yang tak jujur dengan dia pasal sakit yang dihidapi. Sebenarnya saya sendiri pun tak faham masalah kesihatan saya.

“Apabila dah bernikah barulah saya tahu betapa teruknya tahap sakit yang dihidapi. Saya sedar, ia tak adil untuk Ashira. Tapi saya akui, saya tak jujur sebab takut kehilangan dia,” jelasnya.

Pemilik nama penuh Badrul Izhan Yeop Abdullah itu berkata, dia banyak melakukan kesilapan.

Tambah Bad, dia sepatutnya menaruh kepercayaan terhadap seseorang yang ingin dikahwininya.

“Saya sepatutnya yakin dan berikan kepercayaan pada Ashira,” luahnya.

Selepas 10 tahun menduda, Bad akhirnya membuka hati untuk berumah tangga dengan Ashira pada 11 Mac tahun lalu selepas kedua-duanya terlibat dalam Gegar Vaganza musim ketujuh (GV).

Namun, tidak lama selepas mendirikan rumah tangga, Bad diduga dengan masalah kesihatan dan terpaksa menjalani pembedahan membuang lima jari kaki disebabkan luka daripada penyakit diabetes. Dia juga kini perlu hidup bergantung dengan kerusi roda.

Pada 23 Jun lalu, Bad dan Ashira mengumumkan perceraian mereka tetapi sepakat merahsiakan punca perpisahan itu.

Hasil perkahwinan terdahulu, penyanyi itu memiliki sepasang cahaya mata, Rayyan, 13, dan Rania, 12 tahun manakala Ashira, seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 16 tahun.

Sebelum menyertai GV7, Ashira yang popular dengan lagu Ombak Resah pernah dilaporkan diusir dari rumah gara-gara tidak mampu membayar wang sewa selama enam bulan.

Untuk rekod, baru-baru ini, Ashira mengakui dirinya dikecam teruk di media sosial selepas memberi bayangan dirinya kembali bahagia.

‘Bukan salah Ashira’

Bad pada masa sama memohon pihak yang sering melemparkan tuduhan dan kata-kata makian terhadap bekas isterinya di media sosial untuk segera menghentikan perbuatan tersebut.

Kata Bad, Ashira tidak wajar dipersalahkan dalam hal itu dan dia tidak mahu wanita itu terus tersiksa menanggung malu atas sebab perkara yang bukan dilakukannya.

“Ashira jadi mangsa, asyik dicaci, dihentam dalam media sosial. Sampai ada yang berkata, dia isteri teruk sebab tinggalkan laki (suami) yang tak ada kaki. Sudah-sudahlah.

“Tak tahu hujung pangkal cerita, atau tak ada benda elok nak cakap, tak perlu cakap apa-apa. Jangan buat dosa dan fitnah. Ashira berhak dapat kebahagiaan yang diiginkan.

“Selama ni saya berdiam diri, tapi korang (kamu) makin teruk, hentam dia macam-macam melalui Direct Message di Instagram,” ujarnya.