Skip to main
Logo Malaysiakini

Zul harap kes mahkamah jadi pengajaran buat pelakon lain

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas mengaku salah dan dikenakan denda, aktor popular, Zul Ariffin, secara sinis menempelak pihak tertentu yang dipercayai turut berperanan dalam pertuduhan yang dihadapinya hari ini.

Zul berkata, dia berlapang dada mengambil tanggungjawab untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Yang lain semua terlibat (adalah) malaikat, saya seorang mengaku. Tak mengapa,” katanya dipetik Sinar Harian.

Pelakon yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 pada pada 25 Okt ini tiba di Mahkamah Sesyen Sepang kira-kira jam 8.10 pagi tadi ditemani beberapa individu termasuk peguam.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen mengenakan denda sebanyak RM30,000 terhadap Zul selepas dia mengaku bersalah memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial pada Mac lalu.

Kandungan tersebut merupakan teaser dari sebuah drama bersiri berjudul Perempuan Itu yang mendapat kecaman dalam kalangan warganet.

Ia turut mengundang perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa yang menyifatkannya sebagai melampau.

Zul atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin itu menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan multimedia 1998.

Antara yang kelihatan bersama Zul di mahkamah ialah penerbit filem dan drama, Gayathri Su-Lin Pillai.

Zul mengakui, sebagai pelakon dan selebriti, setiap tindak-tanduknya akan menerima akibatnya namun menganggap apa yang berlaku hari ini sebagai pengajaran untuk dia lebih berhati-hati di media sosial.

“Juga pengajaran kepada orang-orang atau pelakon lain di luar sana.

“Jika disuruh membuat hantaran, tak payahlah. Beriya-iya 'dibakar' untuk tujuan promosi, berhati-hatilah. Jadikan saya sebagai contoh,” katanya.