Skip to main
Logo Malaysiakini

RM50 juta disedia untuk dana Dekan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BELANJAWAN 2023 | Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan) bagi memacu industri kreatif tempatan.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, ketika membentangkan belanjawan hari ini berkata, penerbitan filem berunsur patriotik sentiasa menambat hati rakyat.

“Bermula dengan karya seni Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan yang digarap hebat, hinggalah ke filem Ola Bola dan Mat Kilau, semuanya memberi impak dalam mencambahkan benih cinta rakyat kepada negara.

“Kejayaan Mat Kilau dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini,” katanya.

Tengku Zafrul juga mengumumkan, kerajaan menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta ringgit bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.

Selain itu, menurut senator berkenaan, bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan diberi potongan cukai.

“Kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran,” katanya.

Tengku Zafrul juga mengumumkan, kerajaan akan mempergiat program merakyatkan seni, budaya dan warisan di peringkat akar umbi dengan peruntukan RM25 juta.

“Malaysia amat kaya dengan seni dan budaya.

“Ia bagi mengelakkan khazanah seni menjadi lapuk dan ditelan zaman apabila tiada lagi anak bangsa mewarisinya,” katanya.

Bagi mengurangkan bebanan golongan bekerja sendiri membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman tersebut.

“Ini bermaksud, orang bekerja sendiri seperti penghantar makanan, petani, nelayan, penggiat seni Finas dan penjaja hanya membayar 20 peratus saja.

“Tahun hadapan, inisiatif ini akan disediakan RM150 juta dan diperluas kepada mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi dan pekerja gig sektor teknologi maklumat,” katanya.