Skip to main
Logo Malaysiakini

Penggiat seni gembira inisiatif Keluarga Malaysia untuk 2023

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

BELANJAWAN 2023 | Peruntukan secara keseluruhan dana kerajaan sebanyak RM177 juta dalam pembentangan Bajet 2023 bagi memacu industri kreatif tempatan semalam disambut baik golongan karyawan.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, berkata peruntukan RM50 juta untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan) kali ini adalah antara beberapa tindakan terbaik dilakukan oleh kerajaan.

Menurutnya, selain boleh mengalakkan lebih banyak naskhah genre kenegaraan dihasilkan, Dekan sekali gus boleh membantu mempromosi sejarah dan memperkenalkan identiti Malaysia buat tontonan masyarakat antarabangsa.

“Ini berlaku selepas kutipan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan hampir RM100 juta sekaligus menyumbang kepada hasil cukai dalam negara.

“Selain membawa pulangan kepada kerajaan, ia juga membantu ekonomi dan menambah peluang pekerjaan penggiat seni.

“Tahun lalu, peruntukan dana untuk industri kreatif sebanyak RM188 juta bukan ditujukan terus buat kami. Kali ni ia istimewa sebab empat cadangan dibentangkan Finas diluluskan Kementerian Kewangan,” katanya kepada Malaysiakini.

Zed Zaidi

Zed yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, peruntukan RM102 juta Dana Kandungan Digital (DKD) bagi pemasaran produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan karya kreatif dan malar segar pula boleh digunakan untuk mempromosi filem misalnya hingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, ia membantu meringankan sedikit beban pihak produksi untuk kos pelaksanaan pemasaran dan pengiklanan sesebuah produk.

Lebih menarik, kata Zed, buat julung kali, kerajaan menubuhkan Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas bagi menyokong industri kreatif negara.

Jelasnya, tabung tersebut penting untuk membantu suntikan dana dalam industri.

“Ini perkara baru. Apabila tidak ada pelepasan cukai, tak ramai yang nak taja. Melalui pelepasan cukai banyak badan korporat dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) akan melabur.

“Ini galakan tambahan kepada badan swasta dan bukan tertumpu hanya kepada Finas untuk menyumbang bagi pembangunan industri atau pemasaran filem.

“Banyak program amal juga boleh dibuat melalui persatuan seni. Tabung ni boleh membantu memberi banyak hasil untuk digunakan bagi membangunkan lebih produk atau program CSR kepada penggiat seni,” katanya.

Persatuan kendali program

Menurut Zed lagi, pengecualian cukai jualan dan duti import bagi peralatan studio serta produksi penggambaran juga membantu pihak produksi membeli atau menaik taraf teknologi kepada lebih moden.

Kata Zed, secara tidak langsung, pengecualian cukai membantu mewujudkan satu produk yang bukan saja berkualiti tetapi studio penggambaran yang mempunyai taraf lebih baik.

“Barang yang makin canggih akan semakin mahal. Apabila dapat pengumuman pengecualian cukai, produksi filem mahupun drama boleh membeli barang tersebut dengan harga murah.

“Kita dah ada Iskandar Malaysia Studios yang dulu dikenali Pinewood Iskandar Malaysia bertaraf antarabangsa.

“Mungkin dengan inisiatif begini, lebih banyak produksi luar negara berminat menjalani penggambaran di negara kita kerana ada studio boleh menyewakan lokasi dengan harga lebih rendah disebabkan kos peralatan dibeli murah,” ujarnya.

Bagi Zed, dana RM25 juta untuk tujuan program merakyatkan seni budaya dan warisan pula mampu membantu memperkasa budaya dan mungkin boleh digiatkan melalui program yang dikendalikan oleh persatuan seni.

Sementara itu, Presiden Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli, juga menyambut baik pembentangan belanjawan oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam.

Jurey Latiff Rosli

Kataya, dana Dekan sebanyak RM50 juta membantu untuk penggiat seni menyumbang ke arah usaha membina negara bangsa.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana memperuntukkan RM50 juta dana filem kenegaraan. Ia akan dapat diterjemahkan dengan penerbitan filem berkualiti tinggi untuk bina negara bangsa,” jelasnya.

Selain itu, Jurey juga berterima kasih kerana DKD disediakan sebanyak RM102 juta untuk memasarkan kandungan digital berkualiti tinggi dan terbaik untuk negara.

Paling menarik, katanya, PTVM amat bersetuju dengan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran untuk mengalakkan penggiat membeli peralatan baru lebih moden dan canggih serta dana tabung di Finas.

“Ia satu perkembangan sihat untuk industri kreatif negara. Terima kasih kerajaan keluarga Malaysia,” katanya.

Freddie Fernandez

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, tidak terkecuali menyambut baik pembentangan semalam.

Menganggap ia sebagai cukup mesra kepada industri seni dan kreatif, Freddie berkata langkah yang lebih menarik ialah pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio serta produksi penggambaran.

“Untuk keseluruhan, ia satu bajet yang cukup mesra kepada industri. Kami berterima kasih kerana kerajaan memberi tumpuan kepada sektor kreatif.

“Diharap semua yang terlibat mendapat manfaat daripada usaha kerajaan ni,” ujarnya.