Skip to main
Logo Malaysiakini

Fauzi tak takut kena gam, yakin rezeki dari Tuhan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Fauzi Nawawi menganggap terpalit dengan kontroversi jenaka rogol sebagai dugaan terburuk pernah dilaluinya sepanjang 25 tahun menjadi anak seni.

Pun begitu, pelakon berkenaan menyatakan bahawa dia tidak bimbang jika kontroversi itu menyebabkan dia digam stesen televisyen (TV).

“Disebabkan satu kesalahan, orang akan ‘pijak’ kita sampai lunyai, sedangkan berbelas tahun kita buat baik tak perlu diceritakan pada umum pun.

“Justeru, jujur, saya tak takut kalau nama kena banned (digam) kerana saya tak bergantung pada mana-mana makhluk di muka bumi ini.

“Sebab percaya pasti ada rezeki lain yang Allah akan beri. Selagi bernafas, saya akan cari rezeki untuk anak-anak dan keluarga walau dengan apa cara sekalipun.

“Jadi, kalau nak kecam atau gam saya, silakan, Alhamdulillah,” ujarnya.

Fauzi, 49, berkata, namanya yang pernah beberapa kali ditolak untuk membintangi beberapa projek tanpa sebarang alasan juga membuatkan dia beranggapan dirinya seolah-olah digam oleh sebuah stesen TV.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Mohd Fauzi Mohd Nawawi itu menyedari, perkara tersebut cuma spekulasi.

“Nak kata digam, Alhamdulillah, sampai sekarang tidak. Sebelum ini ada dengar cakap-cakap belakang dua, tiga penerbit dan pengarah yang hantar nama saya untuk sesebuah projek tapi kemudian ditolak.

“Pelik juga, kerana perkara itu tak dimeterai, bermaksud tak ada surat rasmi diterima yang menyatakan saya digam,” jelasnya.

Fauzi ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya berjudul Seratus yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Naskhah yang mendapat arahan Feroz Kader itu sedang ditayangkan di pawagam ketika ini. Ia berkisahkan kehidupan pemuda bernama Hafiz - watak dilakonkan Sharul Kamal - menjadi kucar-kacir kerana perlu menyelamatkan ibunya yang diculik.

Satu-satunya jalan keluar yang boleh membantu menyelamatkan ibunya itu adalah dengan mendapatkan semula wang kertas RM100 yang ditinggalkan arwah bapanya (Fauzi).

Filem itu menampilkan 100 orang pelakon. Selain Fauzi, turut menjayakan Seratus pelakon terkenal seperti Alif Satar, Azlee Khairi, Amar Bahrin, Amyra Rosli, Ashraf Muslim, Azri Iskandar, Bront Palarae, Beto Kusyairy, Badrul Muhayat, dan Awie

Sebelum ini, klip video program Rumah No 107 yang tular mengundang kecaman hebat di media sosial selepas seorang pelakon menceritakan adegan rogol dalam sebuah filem pada kejadian berlaku sekitar Oktober tahun lalu.

Kontroversi berlaku apabila Fauzi memperincikan adegan dia ‘merogol’ seorang pelakon wanita hingga mengundang perasaan tidak selesa khalayak yang menonton program tersebut.

Susulan kejadian itu, Fauzi serta beberapa pihak tampil memohon maaf atas keterlanjuran kata-kata termasuk saluran televisyen Astro Warna selaku penyiar program.

Pada masa sama, pelakon Anak Halal itu menafikan bahawa dia merajuk dan perlu membawa diri hingga ke Sabah seperti didakwa segelintir pihak.

Menjelaskan perkara itu, Fauzi, berkata, dia sebenarnya sekadar mengambil tempoh bertenang dan pada masa sama menguruskan perniagaan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

“Bukan saya merajuk. Tapi saya perlu ambil masa agar situasi kembali reda. Saya mengaku silap sebab terlepas cakap. Saya juga dah minta maaf.

“Bercakap pada waktu itu dalam keadaan cepat, teruja dan seronok sampai tak sedar ada perkata tak wajar terlepas cakap.

“Sebenarnya saya ke Sabah atas urusan perniagaan peranti elektronik. Tak mungkin saya akan tinggalkan industri seni jika masih ada permintaan,” jelasnya.