Skip to main
Logo Malaysiakini

Pak Nil tak yakin wakil rakyat akan berhenti melompat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengacara terkenal Aznil Nawawi berkata, dia pesimis terhadap ahli politik walaupun Akta Anti Lompat Parti sudah dikuatkuasakan sejak 5 Oktober lalu.

Bagi Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nill, walaupun undang-undang itu sudah diwartakan, ahli politik tetap berpeluang untuk melompat parti seperti dilakukan sebelum ini.

“Memang ada Akta Anti Lompat Parti, tapi kamu tak boleh nampak kah bagaimana mereka (ahli politik) mengutamakan diri mereka berbanding undang-undang sebelum ini.

“Apa yang buatkan kamu fikir mereka tak boleh ulang semula perbuatan itu?” ciapnya di Twitter.

Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti dua per tiga.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri.

Dengan pelaksanaan akta yang dikenali sebagai Akta A1633 mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit, akan hilang kelayakannya.

Aznil, 59, berkata, apabila seseorang ahli politik berkuasa, rakyat pada kebiasaannya hanya mampu menjadi penonton sandiwara mereka saja.

“(Jadi) apa yang baru?” soalnya.

Bagaimanapun, ciapan itu mengundang respons berbeza beberapa pengguna alam maya antaranya yang berpendapat Aznil sengaja menghasut orang ramai untuk tidak mengundi.

Namun, Aznil kemudian memberi jawapan balas bahawa dia sendiri tidak pasti siapakah yang harus diundinya pada PRU ke-15 nanti.

“Pak Nil tak pernah cakap tak nak keluar mengundi. Kenyataan Pak Nil adalah siapa yang perlu diundi sekarang,” katanya lagi.