Skip to main
Logo Malaysiakini

Aliff Syukri didakwa buat hantaran sumbang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Usahawan kosmetik dan penyanyi, Aliff Syukri Kamarzaman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas empat pertuduhan membuat video bersifat sumbang, April lalu.

Aliff Syukri hadir di mahkamah membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Ahmad Rizki kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan selain menetapkan 25 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Aliff Syukri didakwa secara sedar membuat hantaran Instagram - menggunakan akaun ‘aliffsyukriterlajaklaris’ - dengan memuat naik empat video pendek melalui lagu Klepok Raya yang mengandungi kandungan sumbang.

Aliff Syukri didapati memuat naik empat video pendek tersebut masing-masing pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu.

Justeru, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) Akta 588 dan boleh dituduh mengikut Seksyen 233 AKM.

Seksyen 233 menetapkan hukuman denda bagi kesalahan itu tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, atau boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Menurut laporan Kosmo, pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil.

Terdahulu, Fazril Sani memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Hasshahari Johari Mawi, memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM1,500 bagi semua empat pertuduhan dengan alasan perlu menanggung isteri dan lima anak.

Hasshahari menjelaskan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama, tidak melawan atau ingkar terhadap pendakwa raya dan pegawai penyiasat sebelum ini.

Malah, katanya, tertuduh juga hadir sendiri ke mahkamah hari ini untuk membantu siasatan tanpa paksaan sesiapa.

Seorang lagi peguam bela, Awang Amardajaya Awang Mahmud, berkata wang jaminan bukan sesuatu hukuman dan matlamat untuk pastikan tertuduh hadir ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan.

Sebelum itu, ketika pendakwaan berlangsung, pegawai Aliff Syukri ditegur oleh polis mahkamah kerana didapati merakam menggunakan telefon pintar sebelum gajet itu dirampas.

Perbuatan tersebut dianggap menghina mahkamah dan hakim kemudian memberi amaran atas perbuatan itu dan individu berkenaan sudah pun memohon maaf.