Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu kewangan antara sebab Search buat konsert berturut-turut

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Masalah kewangan didakwa menjadi antara pendorong untuk Kid Search tampil mengadakan konsert sekali pun baru melakukanya kira-kira enam bulan lalu.

Malah konsert yang dirancang itu bakal dilakukan di dua lokasi berbeza dalam tempoh kira-kira sebulan.

Gitaris Search itu berkata, kumpulan itu bercadang mengadakan konsert berkenaan di Rockin’ Arena di Penang Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang pada 24 Dis ini, sebelum disusuli Rockin’ On Rooftop di bumbung pusat beli-belah Aeon Mall, Bandar Dato Onn, Johor Bahru, pada 28 Jan tahun depan.

“Ya, itu salah satu faktor,” ujarnya ringkas ketika ditanya sama ada isu kewangan menjadi sebab mereka merancang siri konsert berkenaan.

Diminta mengulas tuntutan ganti rugi penganjur susulan pembatalan Konsert Search 35, Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd Taib berkata, dia mengadakan perbincangan baru-baru ini bersama Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Anuar.

Kid, 54, yang enggan mengulas secara terperinci isu tersebut berkata, perbincangan berkenaan menunjukkan tanda-tanda positif untuk kedua-dua belah pihak.

“Kami ada bertemu beberapa bulan lalu. Nak tahu lebih, kena tanya berdepan anggota Search (sebelum berpecah) yang terbabit dalam kes.

“Saya tak boleh ulas lebih memandangkan ini kes ini masih berlangsung di mahkamah,” jelasnya.

Kid berkata demikian pada sidang media pengumuman konsert Search di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Rehat untuk merancang

Pada 18 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan tiga anggota kumpulan Search iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd Taib (Din) dan Kid membayar hampir RM500,000 sebagai ganti rugi khas kepada Afjets kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka.

Afjets juga diputuskan berhak untuk menerima ganti rugi am yang belum ditaksirkan yang dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

Cuma pada ketika itu, atas nasihat peguam, Afjets tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi Search, Suhaimi Abd Rahman atau Amy pada masa itu kerana dia sudah muflis.

Untuk rekod, kumpulan itu sebelum ini mengalami krisis berpanjangan hingga berpecah kepada dua. Tetapi kedua-dua kumpulan itu masih menggunakan nama sama, iaitu Search.

Selain Kid, Search turut membariskan Din, Yan, Minn, vokalis dari Indonesia, Denden Gonjalez serta pemain keyboard undangan, Firdaus.

Sementara itu, mengenai konsert di Pulau Pinang dan Johor Bahru itu, Kid berkata, segelintir peminat seakan merajuk kerana kumpulan itu seolah-olah mengambil masa terlalu lama untuk menjejakkan kaki di dua lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Kid, hal itu tidak dapat dielakkan memandangkan banyak perkara perlu diutamakan mereka, terutama dari segi faktor dan perubahan cuaca.

“Ya, ada yang cakap dah ‘sejuk’ sebab Search Rockin’ On Rooftop berlangsung di Kompleks Campbell diadakan pada 11 Jun lalu. Konsert itu terima banyak komen positif.

“Kami berehat untuk tempoh tiga bulan antaranya bagi membuat perancangan teliti untuk konsert seterusnya.

“Waktu Search Rockin’ On Rooftop, masih terlalu awal untuk membuat perancangan kerana belum nampak lagi impak persembahan itu.

“Sebenarnya sukar bagi kami untuk memilih lokasi bersesuaian terutama jika ingin mengadakan konsert di tempat terbuka,” katanya yang menjadikan Search Rockin’ On Rooftop sebagai penanda aras untuk konsert seterusnya.

Pada masa sama Kid berkata, pihaknya memohon maaf kerana perancangan mengadakan konsert di Sabah yang dijadual hujung tahun ini terpaksa ditunda.

Katanya, sekali lagi alasan cuaca menjadikan penangguhan tersebut tidak dapat dielakkan, namun berjanji akan tetap menunaikan janji mereka di sana serta Sarawak pada waktu lain.

“Konsert di Sabah yang sepatutnya diadakan Nov ini, tapi ditangguh dulu disebabkan faktor cuaca. Saya mohon maaf kepada peminat di sana, tapi kami tetap akan pergi ke Sabah dan Sarawak,” katanya.