Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu punggung cedera: Ibu pastikan Wafariena tak mudah 'tunduk'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kesan pengalaman ngeri dialami anaknya sebelum ini, ibu Wafariena Roslan berkata, dia akan lebih tegas untuk memastikan hanya pengarah boleh diyakini akan bekerjasama dengan pelakon itu.

Menurut Suzana Hamad dia nekad mengambil pendirian itu agar insiden yang mengakibatkan Wafariena cedera parah tidak tidak berulang lagi pada masa depan.

Justeru, kata Suzana, dia tidak akan membiarkan anaknya itu tunduk kepada mana-mana arahan pengarah yang mementingkan diri.

“Saya sebagai ibu akan bertegas selepas ini. Apa yang berlaku jadi pengajaran kepada Wafa (Wafariena) serta artis-artis baru yang lain.

“Jangan sesekali dia tunduk pada arahan pengarah yang pentingkan diri,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Suzana bersama anaknya, Wafariena

Suzana, 59, memaklumkan Wafariena terpaksa akur kepada kehendak pengarah untuk melakukan aksi lasak sedangkan kejadian itu tidak wajar berlaku terutama selepas dijanjikan babak tersebut sepatutnya dilakukan oleh pelagak ngeri.

Tambah menambah terkilan, katanya, pengarah terbabit meminta shot itu diulang rakam hingga beberapa kali sedangkan anaknya berada dalam kesakitan.

“Tak ada dalam kontrak kerja ditawarkan, Wafa sendiri bertanya pada pengarah soal itu dan jawabnya ada (stunt).

“Saya anggap pengarah tak ada perikemanusiaan sebab dia diarahkan Wafa ulang shot itu sampai 12 kali.

“Anak saya pula terlalu berlembut dan jadi serba salah. Sebagai pelakon baru, dia bimbang nanti dilabel artis baru mengada-ngada,” ujarnya.

Boleh dengar suara

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan laporan bagaimana Wafariena mengalami kecederaan pada tisu punggung manakala perutnya koyak selain berlaku pendarahan kerana terlibat dalam kemalangan semasa penggambaran.

Ekoran kecederaan itu Wafariena terpaksa menerima rawatan selama lima hari bermula 8 Oktober lalu di Hospital Pakar KPJ Rawang.

Suzana berkata, Wafariena cedera selepas anaknya diminta melakonkan satu aksi ‘ditarik’ untuk menampakkan adegan seolah-olah dia melambung dalam kejadian berlaku pada jam 3 pagi di sebuah hutan di Lenggong, Perak.

Menurutnya, atas nasihat Wafariena, 27, dia duduk tidak berjauhan dari lokasi penggambaran ekoran bimbang keadaan tanah lumpur dan pada waktu itu sedang hujan.

“Wafa bimbang saya jatuh (kalau duduk bersama) disebabkan penggambaran dalam hutan yang juga berbukit, serta hujan gerimis. Jika (kejadian) berlaku depan mata, memang saya halang dia dari teruskan buat aksi lasak itu.

“Saya hanya dengar suara dan mereka bekerja, saya tak nampak shot yang dibuat tapi saya ada menonton video aksi itu,” katanya.

Gambar fail

Mengulas perkembangan terbaru Wafariena, Suzana berkata, doktor memaklumkan kecederaan dialami pelakon terbabit akan mengambil sedikit masa untuk pulih terutama pada tisu perut yang koyak teruk.

“Doakan baik-baik untuk Wafa.

“Penerbit hantar wakil (untuk menziarahi Wafariena), lepas tu tak ada panggilan tanya keadaan Wafa.

"Pengarah pula memang tak datang jenguk sejak dia dimasukkan ke wad hingga dah keluar hospital,” katanya.

Sementara itu, penerbit eksekutif telemovie Mata Tak Berhijab, Izzat Aiman, berjanji akan melakukan siasatan penuh berhubung insiden terbabit.

Izzat berkata, pihaknya memandang serius dakwaan dan etika bekerja yang dipersoalkan dalam isu berkenaan.

“Pihak penerbit dan pengarah mengambil serius isu ini dan kami masih menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden yang berlaku.

“Kami akan mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat kedua-dua belah pihak.

“Sebarang perkembangan mengenai perkara ini, kami akan maklumkan kemudian,” ujarnya.