Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahiril sokong minat anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aktor terkenal Zahiril Adzim berkata, dia dan isterinya Shera Aiyob sentiasa menyokong minat anak tunggal kesayangan mereka.

Justeru, katanya, mereka tidak menghalang sekiranya Nadi Anaqi, 9, mengikut jejak langkahnya menceburi bidang seni pada masa depan.

“Saya tidak kisah jika Anaqi ingin menceburi bidang seni. Sebagai ibu bapa, kami akan sentiasa sokong apa yang Anaqi minat.

“Apa yang penting, saya akan memberi tunjuk ajar padanya untuk mencari hala tuju yang betul dalam bidang yang diminatinya itu,” katanya.

Namun, kata Zahiril atau nama sebenar, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar itu, setakat ini, dia tidak nampak Anaqi meminati bidang seni sepertinya.

Jelasnya, pada pemerhatiannya, Anaqi kurang meminati bidang seni kerana tidak suka berada depan kamera.

“Anaqi lebih pada bidang pelajaran dan sangat meminati subjek Matematik dan seni kraf,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai Shera, kata Zahiril, isterinya masih terbabit dalam bidang lakonan selepas melahirkan anak.

Menurut pelakon itu, selain menjadi pengurusnya, Shera masih berlakon jika ada kelapangan dan watak bersesuaian dengannya.

“Terus terang, saya selesa isteri menguruskan kerjaya seni sejak dulu kerana senang kami berbincang dan urusan kerja menjadi lebih mudah,” katanya yang bakal muncul dalam filem terbaru, Siku 12: Langkah Derhaka.

Mengulas filem Siku 12 terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd, itu, Zahiril berkata, dia terima tawaran berlakon kerana tertarik dengan naskhah berkenaan.

“Saya sendiri berminat dengan jalan cerita yang mengangkat seni mempertahankan seni silat Siku 12.

“Pada masa sama, saya melihat senarai barisan pelakon juga bagus dan berbakat besar,” katanya.

Melalui filem arahan Azhari Zain itu, Zahiril bergandingan dengan aktor terkenal, Syafiq Kyle selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.

Pelakon yang mengukir nama menerusi filem Bunohan dan Pekak itu berkata, dia ditawarkan pengarah untuk berlakon dalam filem Siku 12 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, katanya, banyak cabaran perlu ditempuhi untuk menjayakan Siku 12: Langkah Derhaka antaranya, mempelajari asas seni mempertahankan diri Muay Thai, persilatan Melayu serta dialek Siam.

Katanya, mujur dia mempunyai pengalaman belajar Muay Thai ketika berlakon dalam filem Bunohan.

“Sedikit sebanyak membantu saya di lokasi penggambaran filem Siku 12. Pada masa sama, saya menjalani latihan bersama ahli Kelab Pon Muay Thai, Kedah untuk menguasai babak bertinju dan pertarungan sebelum memulakan penggambaran.

“Antara cabaran lain dihadapi ialah saya perlu menguasai dialek Siam untuk menjiwai karakter A Wut.

“Mujur saya dibantu ahli kelab Pon Muay Thai yang berdarah kacukan Melayu-Siam ketika di lokasi penggambaran,” jelasnya.