Skip to main
Logo Malaysiakini

Zed Zaidi belum sedia jadi politikus sepenuh masa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, mengakui lebih selesa bekerja di belakang tabir membantu calon parti yang disokongnya berbanding peranan lebih menonjol.

Ketika beberapa selebriti dilihat ke depan untuk membantu parti - dan sesetenganya bersedia untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum (PRU) - Zed memilih cara sebaliknya.

Ditanya mengenai keadaan itu, Zed berkata, dia mengambil pendekatan tersebut kerana berasakan dirinya belum layak merebut atau menggalas sebarang jawatan dalam parti politik jika diberi peluang bertanding.

“Saya fikir cukuplah sekadar membantu beri sokongan kepada perjuangan parti,” katanya.

Tambah pelakon drama Gerak Khas itu lagi, memenuhi tanggungjawab sebagai presiden Seniman yang sedang disandangnya sekarang pun sudah cukup merumitkan.

Dia yang juga ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, dia perlu memberikan komitmen penuh untuk menjaga kebajikan semua ahli Seniman.

“Nak jaga ahli seramai 7,000 orang ini pun dah cukup pening, apatah lagi kalau menjaga satu kawasan besar sekiranya dilantik menjadi ahli politik,” katanya.

Pada masa sama, Zed juga berkata, dia lebih suka membabitkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan memerlukan.

Ketika ini, beberapa selebriti pernah merebut atau memegang jawatan dalam parti masing-masing antaranya Dira Abu Zahar, Altimet, Hans Isaac, Afdlin Shauki dan Ahmad Idham.