Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kamu fikir aku kafir? Cuba husnuzon' - Aaron Aziz

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon Aaron Aziz tampil menafikan perkongsian imej yang memaparkan lukisan tatu pada bahagian lehernya adalah menyerupai lambang salib seperti dituduh segelintir pihak.

Sebaliknya, Aaron menjelaskan bahawa corak tersebut sebenarnya memaparkan objek berbentuk dagger (pisau belati).

“Itu bukan salib, itu dagger. Korang (kamu) ingat aku kafir ke apa? Pisau! Semua dagger mestilah ada batang pemegang,” katanya.

Pelakon itu kemudian secara sinikal berkata, bentuk sesebuah pisau belati sememangnya begitu, melainkan objek yang dilukis itu adalah sebaliknya.

“Lainlah kalau aku guna pisau (mentega) yang buat sapu jem atau peanut butter tu... Itu bukan salib,” ujarnya.

Terdahulu, perkongsian Aaron, 46, dengan lehernya dipenuhi lakaran tatu di media sosial - sewaktu menjayakan watak untuk penggambaran filem The Original Gangster baru baru ini - mengundang kecaman warga maya.

Ada pihak menuduh, lakaran tatu tersebut seolah-olah menyerupai lambang salib hingga membuatkan ramai tampil menegur pelakon berasal dari Singapura itu.

Seorang netizen berkata: “Tatu macam bentuk salib walau untuk berlakon haram hukumnya, boleh timbul fitnah dan boleh menuju ke ...... Adoi nak cakap pun seram, jurumekap pun bukan Muslim ke? diharap semua pihak hati-hati dengan agenda mereka.”

Namun, pelakon Abang Long Fadil itu meminta pengguna alam maya untuk tidak terus membuat andaian.

Katanya, tidak wajar jika seseorang itu mudah menyimpan prasangka buruk terhadap orang lain.

“Cubalah buka minda. Husnuzon sikit,” ujarnya ringkas.