Skip to main
Logo Malaysiakini

Finas sasar 30,000 pengunjung ke program Ekspresi@Finas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyasarkan 30,000 pengunjung menghadiri program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) yang berlangsung hari ini dan esok di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Hulu Kelang.

Pengerusi Finas Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkata program julung kali itu bertujuan merakyatkan industri kreatif di samping meningkatkan pembangunan dan jaringan penggiat industri kreatif bersama Finas.

“Apabila kita mengadakan program seperti ini, kita (Finas) ingin menarik minat masyarakat untuk berhibur di samping memberi ruang kepada mereka untuk mencungkil minat dalam industri kreatif ini,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata antara tarikan utama ialah sesi uji bakat lakonan bersama syarikat produksi, uji bakat suara latar, Jom Pitch dan ‘Meet and Greet’ bersama artis-artis tempatan.

“Sesi Jom Pitch! ialah sesi pembentangan idea bagi Dana Mikro menerusi penghasilan video pendek yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia’ dan pemenang akan menerima dana berjumlah RM5,000. Uji bakat lakonan pula tidak kira peringkat umur,” katanya.

Zurainah berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut membuka kaunter pembayaran saman kepada orang ramai dengan tawaran diskaun hingga 80 peratus selain kaunter bayaran kompaun oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata Finas turut menyediakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama kereta Proton Saga 1.3L Standard, selain tiga motosikal, pelbagai peralatan elektrik dan pakej penginapan hotel.

Beliau berkata perkhidmatan bas ulang-alik turut disediakan secara percuma yang akan beroperasi pada 10 pagi hingga 5 petang.

“Antara lokasinya ialah Melawati Mall, belakang Caltex Taman Melawati dan kawasan berhadapan Sakura Kristal, Taman Melawati. Pengunjung hanya perlu meletakkan kenderaan di lokasi-lokasi tersebut menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Finas,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dijadual hadir bagi perasmian program esok.

- Bernama