Skip to main
Logo Malaysiakini

Melayan gerak spontan Shukri Elias di atas kanvas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Layan jiwa..." jawab Shukri Elias apabila ditanya bagaimana proses dia menyiapkan karya.

Shukri adalah antara sekian ramai pelukis yang dilahirkan oleh Universiti Teknologi Mara. Setelah tamat pengajian sekitar 1986 dia menumpukan sepenuh perhatian dalam penghasilan karya.

Walaupun begitu, Shukri juga adalah tenaga pengajar separuh masa di tempat dia menuntut suatu masa dulu.

Karya-karya yang Shukri hasilkan terlihat seperti tidak dirancang dan menurutnya, ia memang disengajakan.

"Memang saya rancang untuk tidak merancang," katanya sambil ketawa.

Shukri tidak pernah menggambarkan sesuatu karya lebih awal di kepalanya, atau melakukan sebarang sketsa sebelum memulakan satu-satu lakaran.

Tidak seperti kebanyakan pelukis, Shukri membiarkan gerak spontan membawa pergerakan berus dan warna dan dia melayan secara untuk bergerak apa saja.

Latihan demi latihan yang dia lakukan terus di kanvas akhirnya akan memungkinkan keyakinan kepadanya dalam berkarya.

Akibat daripada itu karya-karya yang terhasil biasanya pertama-tama akan mengujakan dia sendiri.

"Saya sendiri akan merasa teruja dengan hasil karya saya dan ini lah sebabnya mengapa saya suka kepada proses sedemikian rupa," kata Shukri.

Nilai komersial tinggi

Ini mungkin akan mendatangkan pandangan yang tidak elok daripada pihak lain kerana seniman itu akan dituduh sebagai syok sendiri. Namun nampaknya Shukri tidak peduli.

Menurut pelukis itu, jika seniman sendiri tidak 'syok' dengan karya sendiri, mana mungkin orang lain akan dapat menyukainya.

Layan jiwa adalah terjemahan peribadi Shukri kepada perkataan 'syok sendiri'.

Untuk tidak 'meniru' mana-mana karyawan, Shukri juga tidak menjadikan mana-mana seniman sebagai rujukan.

Ini adalah kerana dia mahu menghasilkan sebuah karya yang benar-benar tulen tanpa perlu dipengaruhi oleh karya atau seniman yang sudah terkenal.

Namun begitu, semasa di peringkat awal pencarian dalam menghasilkan karya, Shukri begitu terpesona dengan karya-karya Picasso dan juga Schiele.

Ini boleh dilihat dalam karya-karya awal Shukri.  Setelah melalui proses yang panjang, karya-karya Shukri kini sudah boleh berdiri sendiri tanpa perlu bergantung kepada pengaruh dua seniman ternama tersebut.

Karya-karya Shukri kini telah menampakan kematangan yang ketara di samping mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Setelah agak lama mendiamkan diri daripada mengadakan pameran, Shukri baru-baru ini mengadakan sebuah pameran solo berjudul Primal Scores.

Melalui pameran tersebut Shukri mempamerkan lebih 20 karya terbarunya. Karya-karya yang dipamerkan mendapat reaksi yang positif daripada pengunjung termasuk Raja Permaisuri Agong yang berkenan menerima sebuah karya Shukri sebagai koleksi.

Pameran yang diadakan di Menara Ken di Taman Tun Dr Ismail tersebut dibawa oleh CIMB Bank melalui acara tahunan Artober iaitu program yang dìsertai beberapa buah galeri bagi mempromosi seni catan tempatan.

Shukri telah diwakili oleh Galeri Artas iaitu sebuah galeri yang sedang giat mengadakan pameran sekarang ini.

Shukri juga berterima kasih kepada pihak galeri kerana sudi memberi peluang kepadanya untuk mengadakan pameran.

Shukri juga akur bahawa untuk membawa karyanya kepada lebih ramai pengemar, dia memerlukan khidmat pengurusan yang lebih kemas.

Menurut Shukri lagi keadaan itu boleh berlaku sekiranya dia bekerjasama dengan galeri-galeri tempatan.

Shukri juga memaklumkan bahawa, walaupun pameran Primal Scores dibawakan oleh Galeri Artas, dia masih dibolehkan untuk bekerjasama dengan mana-mana galeri yang berminat untuk mempromosi karyanya.