Skip to main
Logo Malaysiakini

Kanye West dihalau dari kedai Skechers LA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas Adidas menamatkan hubungan perniagaan dengan Kanye West, penyanyi rap dan ahli perniagaan itu hari ini diiring keluar dari sebuah premis jenama lain gara-gara muncul tanpa diundang.

Jenama kasut yang beroperasi di Los Angeles (LA) itu ialah Skechers. Skechers diasaskan oleh Robert Greenburg, seorang Yahudi.

Perkara itu disahkan oleh Skechers dalam satu kenyataan media yang menyatakan West tiba tanpa membuat sebarang pemakluman dan jemputan selepas mengadakan penggambaran tanpa kebenaran.

Kenyataan itu turut memaklumkan, bekas suami selebriti Kim Kardashian berkenaan diiring keluar dari premis tersebut oleh dua pegawai.

“Skechers tidak mempertimbangkan dan tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan West. Kami mengecam kenyataan memecah belah yang dibuatnya baru-baru ini dan tidak bertolak ansur dengan anti-semitisme atau sebarang bentuk ucapan kebencian,” kata kenyataan itu seperti dipetik ABC News.

Skechers ialah jenama terbaru yang lantang menentang West atau kini dikenali sebagai Ye selepas dia membuat beberapa siri kenyataan anti-semitism di media sosial hingga menyebabkan akaun media sosialnya disekat oleh Instagram dan Twitter.

Terdahulu, nama West ‘panas’ gara-gara membuat kenyataan anti-semitism hingga menyebabkan Adidas menamatkan hubungan dengan jenama Yeezy keluaran selebriti hip-hop berkenaan pada 25 Oktober lalu.

Adidas dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa jenama itu menamatkan hubungannya dengan West dan akan menghentikan kesemua pengeluaran produk Yeezy.

“Adidas tidak bertolak ansur dengan anti-semitisme dan sebarang jenis ucapan kebencian yang lain. Komen dan tindakan Ye baru-baru ini tidak boleh diterima, penuh kebencian dan berbahaya, dan ia melanggar nilai kepelbagaian dan keterangkuman, saling menghormati dan saksama syarikat,” katanya.

Perbankan gergasi AS, JPMorgan Chase juga menamatkan hubungan perniagaannya dengan penyanyi rap itu sebelum kontroversi komen anti-semitisme yang dibuatnya baru-baru ini.

Bulan lalu, West memberitahu dia menamatkan kerjasama 10 tahun dengan Gap selepas menuduh syarikat terbabit gagal mematuhi syarat perjanjian untuk label fesyen Yeezy manakala Vogue dan Balenciaga menjauhkan diri daripada artis itu.

Untuk rekod, nama West cukup terkenal dengan kenyataan kontroversi berunsur provokasi seperti menyokong bekas presiden Donald Trump pada 2016 dan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden AS pada 2020.

Bukan setakat itu, West juga muncul memakai baju tertera perkataan “White Lives Matter” sewaktu acara Yeezy Season 9 di Minggu Fesyen Paris - pada awal Oktober lalu - sekali gus mengundang kritikan daripada penyokong keadilan sosial dan masyarakat kulit hitam termasuk beberapa rakannya dalam komuniti hip-hop.