Skip to main
Logo Malaysiakini

Awesome TV anggap A Aida tak layak berada di Finas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Stesen penyiaran televisyen swasta percuma, Awesome TV, mencadangkan tindakan tegas diambil terhadap A Aida selaku ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ekoran kenyataan yang mencetus kontroversi baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Adam Ilyas, berkata pihaknya tidak bersetuju apabila A Aida mengatakan bahawa bakat tidak penting berbanding wajah yang cantik dan tampan sebagai penentu kejayaan sesebuah karya.

“Kenyataan A Aida jelas menunjukkan dia tidak layak berada dalam Finas, apatah lagi menggalas tanggungjawab sebesar ahli lembaga pengarah.

“Saya pasti ramai penggiat seni di luar sana bersetuju apabila kami menegaskan bahawa kenyataan seumpama itu tidak bijak dan merosakkan industri seni negara, terutamanya apabila datang daripada seorang ahli lembaga Finas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

A Aida

Adam berkata, di Awesome TV mereka yakin bakat adalah kriteria utama dan cukup penting dalam menentukan pembabitan mana-mana selebriti yang menjayakan sesebuah nashkah terbitan syarikat itu.

Menurutnya, dari hari pertama syarikat itu bersiaran pada Ogos 2020 mereka tidak mengamalkan diskriminasi dalam menentukan pembabitan mana-mana anak seni dalam program yang diterbitkan.

“Bakat sentiasa dijadikan faktor nombor satu yang ditekankan dan mereka juga sentiasa menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelakon tanah air seawal sesi pemilihan pelakon,” katanya.

Peluang sama rata

Baru-baru ini A Aida membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai uji bakat mencari pelapis baru dalam program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) yang berlangsung pada 23 dan 24 Okt lalu.

Ia menjadi perhatian ramai apabila penerbit terbabit mahu memberi keutamaan kepada peserta yang berwajah cantik dan kacak kerana beranggapan aspek tersebut lebih penting.

Semalam Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, kenyataan penerbit terbabit tidak menggambarkan pendirian Finas.

Kata Adam, gabungan bakat, strategi pemasaran, jalan cerita yang mantap serta pengarahan yang baik adalah formula tepat untuk menarik tontonan masyarakat.

Menurutnya, secara konklusif, sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikannya hebat dan diterima ramai.

“Kami juga memberi peluang sama rata kepada semua penggiat seni yang memainkan peranan di depan dan di belakang lensa kamera, merentasi setiap peringkat umur.

“Berbanding dengan memiliki wajah yang cantik dan tampan saja, kami lebih memberi fokus kepada bakat serta kualiti kandungan sesebuah program,” katanya.