Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes saman A Aida, Idris Khan selesai di luar mahkamah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes saman membabitkan penerbit sensasi, A Aida, dan pelakon Idris Khan selesai selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

Keputusan dibuat selepas A Aida selaku plaintif menarik balik samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam mewakili Idris - selaku defendan kedua - iaitu Jason Wee dalam prosiding sebelum itu memohon supaya kes terbabit diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

Permohonan yang dibuat dihadapan hakim Zulqarnain Hassan turut dipersetujui oleh pihak A Aida.

Menurut laporan Kosmo, Zulqarnain membenarkan kes itu diselesaikan di luar mahkamah secara baik tanpa sebarang tanggungan pada kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Idris membayar RM3,780 kepada plaintif sebelum penghujung Nov ini selain menetapkan pelakon terbabit tidak boleh memfailkan saman malu terhadap A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang itu.

Terdahulu, dalam prosiding di mahkamah sama, defendan pertama, pelakon Amelia Henderson kekal dengan keputusannya untuk meneruskan perbicaraan.

Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A Aida, 52, kerana didakwa melanggar kontrak penghasilan sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin, sepakat membawa perkara itu ke mahkamah atas alasan mahu memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.