Skip to main
Logo Malaysiakini

Serik ditipu, Estranged berazam lebih berhati-hati memilih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerugian wang berjumlah RM100,000 akibat menjadi mangsa kes penipuan menyebabkan band Estranged mengambil langkah lebih berjaga-jaga dalam berurus niaga.

Pemain gitarnya, Solihuddin Hormat atau Din Hormatov, berkata keterujaan menerima undangan membuat konsert di London pada hujung 2016 dan awal 2017 daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya Pengurus Publisiti Apple Inc mengakibatkan mereka terjerat dengan mudah.

Keadaan itu, menurutnya, berlaku disebabkan mereka tidak membuat pengesahan awal berhubung latar belakang individu terbabit sebelum mengeluarkan kos kononnya sebagai persediaan ke United Kingdom.

“Kami mudah sangat percaya dengan tawaran diberikan. Dokumen dilampirkan dalam e-mel dan janji manis keluar daripada mulut wanita terbabit nampak sungguh meyakinkan.

“Personaliti dan karisma wanita itu ketika mengadakan pertemuan membuatkan kami tidak teragak-agak untuk bersetuju dengan peluang tersebut sekali gus menyebabkan kami langsung tidak peka dengan taktik licik yang digunakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Din, Estranged enggan kesilapan sama berlaku terhadap mana-mana kumpulan muzik tempatan lain yang ingin mencari peluang membina jenama sendiri di luar negara.

Justeru, Din menasihatkan sesiapa saja agar berhati-hati dengan tipu daya penipu yang memang menggunakan pelbagai helah untuk mengaburi langkah mereka.

“Kami kemudian mendapatkan kenyataan daripada pihak Apple di London, sebenarnya tawaran terbabit tidak wujud. Dokumen diberikan juga palsu.

“Jadi, janganlah menganggap nama organisasi yang anda lihat atau dengar adalah yang betul. Semak dulu, sebelum berurusan.

“Mereka ini akan meminta anda bertindak segera untuk membayar wang dalam cara tertentu,” ujarnya.

Jumlah dirasa terlalu besar

Din ditemui pada sidang media Japan Arts Culture Entertainment (Jace) dan Japan X Malaysia Friendship Concert di Lalaport BBCC, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kumpulan rock alternatif itu antara yang membuat persembahan di samping tiga artis popular dari Jepun iaitu Back-On, Centimillimental & FEMM di konsert yang berlangsung pada 30 Okt lalu.

Selain Estranged, dua lagi kumpulan turut membuat persembahan dianjurkan Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur itu ialah Floor 88 dan Sakura Band.

Terdahulu, Estranged yang turut dianggotai oleh Richard Lawrence Gimbang atau Rich (vokalis) dan Nor Hanafi Noor Hadi (gitar) mengemukakan saman sebanyak RM100,000 terhadap Eziana Abdul Aziz yang turut bertindak selaku wakil penganjur festival berkenaan.

Menurut Din, saman itu dikemukakan ekoran kerugian ketika membuat persiapan untuk menyertai festival antarabangsa yang didakwa sepatutnya berlangsung dari 23 Dis 2016 hingga 2 Jan 2017 di lokasi terpilih di United Kingdom.

Din berkata, walaupun mengemukakan saman sebanyak RM100,000, mereka gagal mendapatkan tuntutan tersebut.

“Wanita terbabit dipenjarakan, kes dianggap selesai. Jumlah RM100,000 itu sungguh besar buat kami. Tapi mujur, pendapatan kami agak stabil pada masa itu,” kongsinya.