Skip to main
Logo Malaysiakini

Jalan raya sesak, ribuan peminat banjiri kediaman Shah Rukh Khan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aura bintang Bollywood tersohor Shah Rukh Khan begitu terserlah apabila sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-57 semalam diraikan ribuan peminat yang membanjiri kediamannya.

Mereka yang membanjiri kawasan kediaman aktor itu turut menyebabkan jalan berdekatan menjadi sesak.

Shah Rukh berkongsi imej dan video lautan peminat di Intragram yang menunjukkan mereka berhimpit dan sanggup bersesak di bawah kediaman bertingkat itu.

“Lautan cinta yang hadir untukku di ulang tahun. Terima kasih kerana hadir pada hari ini dan menjadikan ia sungguh istimewa. Terima kasih dan sayang kamu semua,” katanya.

Imej dan video itu memaparkan Shah Rukh melambai tangan dan bergambar bersama peminat sambil berdiri di balkoni rumahnya.

Pemandangan tersebut bukan yang pertama seumpamanya kerana sudah menjadi ibarat tradisi apabila setiap kali ulang tahun pelakon Mohabbatein itu, peminat akan menyambut dengan cara sedemikian.

Namun, kebiasaan itu terhenti selama beberapa tahun disebabkan pandemik Covid-19 dan Shah Rukh enggan dia menjadi punca peningkatan wabak.

Kini, tradisi itu kembali dan aktor itu mengucapkan syukur kerana berkesempatan sekali lagi meraikan ulang tahunnya bersama peminat.

Lebih istimewa sebelum itu, bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa yang terletak di Dubai menyiarkan ucapan khas buat Shah Rukh yang selamat meniti usianya yang ke-57.

“Selamat ulang tahun Shah Rukh Khan, kami menyayangimu,” kata ucapan itu diiringi emoji dan wajah bintang berkenaan.