Skip to main
Logo Malaysiakini

Michael Ang bereksperimen sosial menjelang PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekilas pandang seperti mahu memancing perhatian dan menuai kontroversi, tetapi pengarah filem, Michael Ang, sebaliknya cuba 'mendidik' orang ramai mengenai makna berhati-hati menguruskan cerita.

Melakukannya ketika detik PRU ke-15 semakin hampir Michael berkata, dia sebenarnya melakukan eksperimen sosial untuk orang ramai mengambil sedikit pengajaran.

Matlamat pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu ialah agar orang ramai - khususnya pengikut dia di media sosial - agar tidak mempercayai sembarangan sesuatu khabar yang belum sahih terpapar di media sosial.

Katanya: Jangan membuat andaian tanpa tahu keadaan sepenuhnya terlebih dulu.

“Hahahahah. Eksperimen sosial untuk 'netizen neraka' berjaya. Ini bagi membuktikan apa yang ingin ditonjolkan.

"Jangan mudah percaya dengan apa yang kamu lihat di media sosial. Jangan buat andaian tanpa tahu sepenuhnya.

“Jadi, untuk PRU nanti jangan lihat berdasarkan apa dikongsikan di media sosial saja, (sebaliknya) buat kajian sendiri sebelum keluar mengundi,” katanya hari ini.

Ramai yang rasional

Michael, 46, sebelum itu mengundang pelbagai respons termasuk kecaman ramai apabila dituduh sengaja melakukan provokasi dengan berkongsi imej yang boleh ditafsir mempromosi amalan LGBT.

Kerana hantaran tersebut dia turut mendakwa didesak untuk keluar daripada Islam.

“Yang terus direct message maki aku suruh aku keluar Islam hanya disebabkan imej itu… apa aku boleh kata adalah: sila menilai sendiri,” tegasnya.

Pada masa sama pengarah Perempuan Tanpa Dosa itu dipercayai berkongsi imej-imej berkenaan bagi mempromosi drama terbarunya.

Bagaimanapun, tidak kurang juga segelintir peminat yang menyatakan mereka menyokong mesej cuba disampaikan Michael itu.

Kata Michael, dia bersyukur kerana masih ada pengguna Internet yang rasional apabila mampu membuat penilaian wajar sebelum menghakimi sesuatu perkongsian.

“Tapi beryukur juga, ramai netizen yang tidak sewenang-wenang menghakimi dengan keras (harshly),” katanya.