Panggilan Shamsidar, 'bisikan' Mak Tom ubah hati Azwan untuk bertanding
“Bisikan” arwah ibu, Mak Tom dan juga panggilan amat mesra daripada kakak ipar mendorong Diva AA membatalkan niatnya untuk menyertai persaingan merebut kerusi parlimen Gombak.
Diva AA atau nama sebenarnya Azwan Ali juga berkata, dia memohon maaf kerana membuat keputusan saat-saat akhir sekali gus “menghampakan penyokongnya” dengan menarik diri.
“Saya membuat keputusan untuk menarik diri selepas Subuh pagi tadi. Ini bukan propa (gimik). Saya sering ke pusara Mak Tom dan saya mendengar bisikannya yang menasihatkan untuk tidak bertanding.
“Walaupun arwah dalam kubur, saya percaya dia mendengar, tak kisahlah jika orang anggap itu semua tahyul, itu mak aku.
“Kedua, saya mendapat panggilan cukup mesra daripada isteri Azmin Ali, Shamsidar Taharin, kami bercakap panjang lebar malam tadi,” katanya.
Bagaimanapun menurut Azwan, 56, Shamsidar tidak menghubunginya untuk memujuk dia agar tidak bertanding.
“Saya hormati dia dan jasanya yang sentiasa dikenang. Saya terharu apabila dia berkata, Min (Azmin) sering bertanya mengenai diri saya.
“Itu antara faktor dan ‘desakan’ untuk saya menarik diri,” katanya di pusat penamaan calon Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, hari ini.
Azwan adalah calon yang terawal tiba di pusat penamaan calon itu namun selebriti sensasi itu tidak menyerahkan borang penamaan calon.
Tiga calon bakal bertanding di Gombak iaitu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mewakili PH, Megat Zulkarnain Omar Din (BN) serta Azmin Ali (PN) telah menghantar borang pencalonan mereka tepat pukul sembilan pagi.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Azwan berharap karier politik Azmin yang juga penyandang kerusi parlimen Gombak, itu bakal ‘dikuburkan’ pada 19 Nov ini.
Katanya, seseorang yang mengkhianati ikrarnya sendiri tidak wajar mendapat sokongan kali ini.
Azwan ketika ditemui hari ini berkata, dia tetap berhasrat untuk terus menentang Azmin di mana saja dia bertanding.
Justeru, pengacara popular itu berkata, dia menyatakan sokongannya buat Pakatan Harapan (PH) dan Amirudin.
“Mulai sekarang, saya menyokong PH. Saya tak ada apa-apa dendam terhadap abang saya walaupun nerakazen (netizen) menuduh saya begitu.
“Saya menyokong Amirudin kerana menteri besar Selangor itu menunjukkan prestasi cemerlang, apa lagi yang kamu nak?
“Saya harap pengundi tidak bodoh, fikir dua kali sebelum mengundi, apa yang berlaku pada karier Azmin mencalarkan kredibiliti dia untuk memimpin,” ujarnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai