Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak kelahiran M'sia Syabira juara rancangan buat kek di UK

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dalam perlawanan akhir yang mendebarkan, anak kelahiran Malaysia Syabira Yusof berjaya memenangi pertandingan rancangan realiti memasak The Great British Bake Off musim 2022 di United Kingdom.

Penyelidik kardiovaskular itu berentap dengan jurutera elektronik Abdul Rahman Sharif, 29 dan pengasuh Nelsandro ‘Sandro’ Farmhouse, 30 dan muncul juara The Great British Bake Off Champion 2022.

Syabira merupakan wanita pertama yang memenangi gelaran itu dalam tempoh lima tahun lalu.

Penyelidik kardiovaskular itu mula terlibat dalam pembuatan kek dan roti kira-kira lima tahun lalu, sejak tiba di London pada 2013.

Dia merujuk kejayaannya sebagai "pencapaian paling hebat dalam hidup saya" selepas mendengar namanya diumumkan oleh pengacara Matt Lucas sebagai pemenang The Great British Bake Off.

Juri rancangan itu Paul Hollywood dan Prue Leith tertarik dengan kemahiran dan cita rasa kek buatan Syabira.

Kata juri, kek bersumberkan ilham haiwan terancam Orang Utan itu rasa sangat sedap.

Sebelum perlawanan akhir, Syabira merangkul gelaran "Star Baker" (pemenang keseluruhan minggu) sebanyak tiga kali.

Pemenang Great British Bake Off sebelum ini seperti Nadiya Hussain dan John Whaite dari UK telah menjadi hos rancangan masakan mereka sendiri.

Juara lain, seperti Frances Quinn, Nancy Birtwhistle dan pemenang tahun lepas, Guiseppe Dell'Anno juga meraih pengikut yang ramai di media sosial.