Skip to main
Logo Malaysiakini

Pentingkan wajah cantik dan kacak dah lama diamalkan, tapi...

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Amalan mengutamakan pelakon jelita untuk membawa watak utama dalam filem atau drama sudah lama dipraktikkan, namun perlulah melalui saringan uji bakat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Md Nasir Ibrahim.

Jelasnya, tindakan itu penting bagi menilai kemampuan seseorang pelakon jelita membawa peranan yang diberi, dan tidak bergantung harap kepada wajah cantik semata-mata.

“Antara pelakon cantik pada zaman dulu ialah seniwati Maria Menado, Zaiton dan Roseyatimah. Pemilihan pelakon yang cantik dan kacak diperlukan untuk watak hero (utama),” ujarnya.

Kata Md Nasir, pada masa sama paras rupa bukanlah segala-galanya bahkan ia perlu digandingkan dengan bakat serta sikap bagi melahirkan seorang pelakon yang bagus.

Berdasarkan pemerhatiannya, hubungan sesama pelakon juga sangat penting dan pada masa dulu mereka hidup seperti adik -beradik selain menetap di kuarters yang sama pada zaman Show Brothers.

“Pelakon dulu juga sangat menjaga disiplin kerana sikap memainkan peranan penting untuk berjaya dalam bidang lakonan.

“Berbeza dengan pelakon baru zaman sekarang yang bersikap sombong.

"Sebagai pelakon baru, mereka sepatutnya boleh menggilap bakat lakonan dengan menimba ilmu dengan mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.

Semua berminat pada kecantikan

Namun, bagi Md Nasir, ada juga yang bertuah apabila mewarisi bakat lakonan daripada ahli keluarga seperti Noor Kumalasari dan Fauziah Ahmad Daud.

Md Nasir berkata demikian pada sesi forum Antara Cantik dan Bakat: Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? yang berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti (FSKK) Kebangsaan Malaysia (UKM) kelmarin.

Forum berkenaan dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham) dengan kerjasama Finas serta FSKK untuk menyemarakkan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 yang bakal berlangsung 2 Dis ini.

Turut diundang menjadi panel ialah Ahli Jawatankuasa Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang juga Pengarah Urusan Skop Production, Yusof Haslam dan seniwati veteran, Noor Kumalasari.

Tidak ketinggalan, penampilan dua pendatang baru, Sharifah Rose dan Hariz Hamdan serta aktor Fahrin Ahmad sebagai moderator.

Forum dirasmikan Pengerusi Finas, Zurainah Musa. Hadir sama, Presiden Wham, Tengku Khalidah Tengku Bidin, dan penerbit filem A Aida.

Terdahulu, isu rupa atau bakat hangat diperkatakan selepas A Aida secara terbuka menyatakan pendiriannya untuk mengutamakan hero dan heroin yang memiliki kelebihan pada wajah berbanding aspek lain.

Katanya, bakat seseorang boleh diasah kemudian.

Namun, kenyataan itu mencetuskan polemik dalam kalangan penggiat seni dan warga maya.

Turut senada dengan Md Nasir adalah Yusof yang berpendapat rupa dan bakat harus seiring untuk mendapat tempat dalam industri perfileman.

Ujar pengarah yang pernah mendapat jolokan Six Million Dollar Man itu lagi, persoalan tersebut sebenarnya adalah subjektif.

“Kalau kita buat filem pun - contohnya filem Hindustan pun - semua nak yang cantik tapi tanpa kita mengabaikan bakat. Sebagai pelakon dan pengarah, mata kita adalah kamera.

“Kita akan tengok cara pelakon itu berjalan dan bercakap. Jika tak, saya akan menjadi pengarah yang syok sendiri. Menghasilkan filem juga survival kerana buat filem bukannya mudah,” katanya.

Tidak ada jaminan akan laris

Mengimbas latar dirinya sebelum ini, Yusof berkata, dia bermula sebagai pelakon dan pengarah ketika meniti usia belasan tahun.

Malah katanya dia terpikat dengan Noor Kumalasari dan mahu personaliti terbabit - yang pernah menjadi model - membintangi filem pertamanya kerana pengaruh wajah seniwati berkenaan.

“Bagi saya, bakat dan rupa penting untuk pemilihan pelakon. Apabila isu ini didebatkan, saya ada menghubungi A Aida kerana saya sependapat dengan dia kerana kami sama-sama bergelar produser,” tuturnya.

Tambah Yusof, dia juga meminta pandangan isterinya yang sentiasa memberikannya motivasi untuk menghasilkan filem.

“Saya menampilkan Awie dalam filem Pemburu Bayang dan filem itu juga berjaya, manakala dalam Sembilu, pilihan pertama saya adalah Sofea Jane tapi dia menolak tawaran berkenaan kerana mahukan watak lebih mencabar.

“Justeru, saya ikut cadangan isteri untuk mengambil Erra Fazira kerana dia juga ratu cantik ketika itu.

"Selain Awie dan Erra Fazira, saya juga mengambil Ziana Zain untuk berlakon dalam filem terbitan saya kerana dia juga berbakat,” katanya.

Namun, kata Yusof, tidak ada jaminan sesebuah filem itu laris dan mendapat sambutan jika menampilkan artis popular dan cantik.

“Ada juga pelakon yang memiliki personaliti yang kurang tapi ada daya penarik tersendiri seperti seniwati Azean Irdawaty dan Allahyarham Nordin Ahmad yang tidak sekacak mana pun.

“Justeru, saya menafikan pelakon yang kurang dari segi rupa tiada peluang dalam industri kerana pembahagian watak mengikut kesesuaian dan masing-masing ada peranan dalam menaikkan industri seni,” jelasnya.