Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pesan buat warga filem: Jangan hanya 'mengundi duit'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Apabila ada pihak memulakan projek filem Anwar Ibrahim, ia sebenarnya menghantar satu isyarat bahawa ada yang tidak kena dengan dunia dan industri layar perak tanah air.

Justeru persoalan yang berbangkit daripada projek itu patut menjadi renungan kepada warga industri dan pencinta filem Malaysia yang akan membuat penentuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Sabtu ini.

Dalam proses memikirkan parti politik mana yang lebih baik untuk dunia seni dan sinema Malaysia, penggiat dan pencinta filem jangan hanya memandang siapa yang menawarkan jumlah duit terbesar sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

Benar, dana untuk industri filem itu penting, namun sama pentingnya ialah siapa - dan sistem apa - yang digunakan untuk memberi duit tersebut.

Faktor-faktor itulah yang mempengaruhi projek filem Jalan Masih Panjang yang berdasarkan kisah Anwar tersebut.

Jangan salah faham. Penulis percaya filem mengenai seorang ikon politik dan gerakan Reformasi yang diusahakan itu adalah babak-babak sejarah penting yang patut diterjemahkan dalam bentuk filem, bahkan cabang seni yang lain.

Namun ada persoalan di situ. Pertama, mengapa sangat lama masa diambil untuk menghasilkan karya tersebut walaupun gelombang politik yang dicetuskan oleh Anwar sudah mengubah Malaysia secara mendalam?

Kedua, mengapa projek itu tidak mula diusahakan oleh pembikin filem Malaysia? Bahkan kenapa penggambaran tidak dijalankan di Malaysia ketika latar dan lokasi yang diceritakan itu memang berpaksi di Malaysia?

Ada banyak pilihan

Jawapan kepada soalan kedua diberikan oleh penerbit eksekutif filem tersebut, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar dalam wawancara bersama portal berita The Vibes pada 11 Nov.

Zunar - yang tidak pernah terlibat sebagai penerbit produksi televisyen atau filem sebelum ini - berkata dia mengusahakan projek tersebut selama lebih 12 tahun dan kemudian memutuskan untuk berkolaborasi dengan penerbit serta kru dari Indonesia.

Dia yang juga seorang kartunis politik tersohor tanah air berkata kesukaran mendapat permit bagi menyiapkan filem sebegitu mendorong mereka menjalankan penggambaran di luar negara.

Zunar juga menyatakan rancangan pihaknya untuk menayangkan Jalan Masih Panjang itu di pawagam di seluruh negara.

“Tetapi sekiranya dihalang, kami akan siarkan melalui perkhidmatan penstriman. Sekarang dah banyak pilihan,” kata Zunar.

Jawapan kepada soalan pertama pula adalah, seorang penerbit di Malaysia akan sukar untuk mendapat dana dan sokongan institusi dalam negara bagi menghasilkan sesebuah karya sebegitu.

Hal tersebut dinyatakan sendiri oleh sumber dalaman industri perfileman negara.

Kajian yang dihasilkan Pertubuhan Perfileman Sosial (FFN) tentang sistem penapisan di Malaysia menunjukkan, filem yang mempunyai tema dan tajuk politik melalui jalan yang sukar dari segi mencari dana mahupun tayangan awam.

Menurut sumber yang pernah berkhidmat dengan agensi pemberi dana, peruntukan dana memang ada namun penyalurannya bergantung kepada cita rasa politik parti yang menguasai kerajaan.

Itu baru cabaran di peringkat mendapatkan dana daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Belum lagi kita melihat proses penapisan filem oleh Kementerian Dalam Negeri yang - menurut kajian FFN - kerap dipengaruhi sentimen parti politik yang memerintah.

Contohnya, filem seperti Tanda Putera dan Mat Kilau segera mendapat lampu hijau daripada kerajaan, tetapi karya seperti The New Village dan Lelaki Komunis Terakhir sebaliknya tersangkut.

Sementara filem satira politik Banglasia 2.0 hanya dapat ditayangkan selepas pertukaran kerajaan melalui PRU ke-14 pada 2018 lalu.

Badan kawal selia profesional

Kesimpulannya, mana-mana filem yang mahu mendapat dana, mencari sokongan dan mengharapkan kelulusan untuk tayangan di Malaysia, ia mestilah mengikut acuan cita rasa politik kerajaan semasa.

Justeru, apa kena mengena semua ini dengan PRU ke-15?

Antara ketiga-tiga gagasan terbesar yang sedang gigih mencari undi dan dilihat berpotensi membentuk kerajaan selepas 19 Nov, hanya dua - BN dan PH- yang membuat tawaran spesifik buat industri filem.

Selepas parlimen dibubarkan, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata RM152 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas), RM 102 juta untuk Dana Kandungan Digital dan RM50 juta kepada Dana Khas Kandungan Kreatif.

Tetapi duit-duit tersebut hanya akan turun jika BN kembali memerintah selepas Sabtu nanti, dan Belanjawan 2023 diluluskan di parlimen.

PH pula menumpukan satu daripada 39 tawarannya dalam manifesto Kita Boleh bagi menerangkan dasar baru industri kreatif yang melibatkan seni muzik, filem dan seni kreatif lain.

Sekiranya PH membentuk kerajaan baru, kebajikan penggiat seni akan diperkukuh, manakala dana khas bagi sekolah akan disediakan agar murid-murid digalakkan berkecimpung dalam industri kreatif.

Bagi industri filem, sebuah badan kawalan filem yang profesional, telus dan bertanggungjawab akan ditubuhkan. Ia bakal dianggotai ahli industri yang mahir dalam dunia berkaitan, artis dan masyarakat sivil.

Prinsip penting yang mendasari semua rancangan itu adalah kebebasan untuk membuat keputusan supaya mana-mana projek seni yang memohon dana dan lesen akan dinilai berdasarkan merit serta kualiti cadangan, bukannya terikat dengan cita rasa parti yang memerintah.

Ringkasnya begini: satu pihak menawarkan duit, manakala pihak yang kedua merancang untuk membina sistem yang meyakinkan dengan menyalurkan bantuan dan kewangan melalui kaedah yang lebih baik daripada sekarang.

Inilah yang harus difikirkan oleh penggiat seni. Ia bukan saja tentang jumlah duit yang dijanjikan untuk warga seni dan filem, sebaliknya siapa dan bagaimana duit itu diedarkan.

Tiada maknanya kalau dana disediakan tetapi ia hanya diberikan kepada orang yang sehaluan dengan cita rasa sang pemerintah.

Ini yang harus difikirkan pekerja dan pencinta filem semasa berada dalam pusat mengundi Sabtu ini.


SHERIDAN MAHAVERA ialah ahli Pertubuhan Perfileman Sosial (FFN).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.