Skip to main
Logo Malaysiakini

FDAM ingatkan syarikat produksi, stesen TV mudahkan kru mengundi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim memberi amaran kepada semua syarikat produksi dan stesen televisyen (TV) agar tidak menghalang mana-mana kru produksi untuk keluar mengundi.

Justeru, FDAM meminta semua syarikat produksi menangguhkan penggambaran pada 19 Nov ini bagi memberi laluan kepada artis dan kru sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata Ahmad atau lebih mesra disapa Mat London, penggambaran boleh ditangguhkan kerana mengundi merupakan tugas penting demi masa depan negara.

“FDAM meminta pihak terbabit untuk membuat penjadualan semula tarikh penggambaran yang sepatutnya dilakukan pada tarikh mengundi.

“Ini merupakan tanggungjawab penting yang wajib dilaksanakan penggiat seni tanpa ada sebarang alasan, kekangan atau isu membabitkan aspek kerja pada Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, warga seni turut memainkan peranan penting sebagai rakyat Malaysia untuk memilih kepimpinan negara.

Katanya, sudah tentu ada dalam kalangan mereka yang perlu pulang ke kampung dan menggunakan peluang itu untuk pulang mengundi.

“FDAM menyokong dan berterima kasih pada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana memberikan cuti khas sehari sebelum tarikh mengundi untuk rakyat balik mengundi.

“Buat semua ahli dan penggiat seni, marilah kita beramai-ramai pergi mengundi pada 19 November ini.

“Penggiat seni juga penentu masa depan negara, tunaikan kewajiban anda pada negara,” ujarnya.