Skip to main
Logo Malaysiakini

Azhar Sulaiman mahu Zahid bertanggungjawab atas kekalahan BN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lagi gesaan agar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semalam.

Kali ini ia dibuat pelakon terkenal, Azhar Sulaiman. Kata ahli Umno itu, Ahmad Zahid wajar berundur dan meletakkan jawatan yang disandang ketika ini.

“Assalamualaikum Zahid Hamidi, saya sebagai ahli Umno ingin meminta agar DS (Datuk Seri) bertanggungjawab atas kekalahan BN dalam PRU ke-15 ini.

“Jadi, amatlah wajar sekiranya DS berundur dan meletakkan jawatan selaku presiden Umno,” ujarnya di Instagram hari ini.

Menurut pelakon Trauma itu, kekalahan BN semalam adalah disebabkan tersilapnya percaturan yang diambil sebelum ini.

Justeru, Azhar, 51, yang juga bintang filem popular era 1990-an menyeru pengikutnya di media sosial supaya menunjukkan sokongan ke atas kenyataan dibuatnya.

“Percaturan DS silap hingga kita tewas teruk berdepan perang persepsi.

“Sesiapa yang bersama saya, sila angkat tangan,” katanya.

Jaga rakyat baik-baik

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan, dan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menjadi antara pemimpin terawal dalam parti itu yang menggesa Ahmad Zahid melepaskan jawatannya.

Shahril - yang tewas di kerusi parlimen Alor Gajah semalam - turut mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.

Sementara itu, meninjau di ruang komen hantaran Azhar, majoriti warganet bersetuju dengan pandangan pelakon berkenaan.

Pada hantaran berbeza, Azhar berkata, penyokong BN boleh bersedih atas kegagalan besar mereka dalam percaturan diambil, namun menasihatkan mereka agar tidak keterlaluan.

Menurutnya, mereka kini wajar memikirkan strategi untuk memperbaiki kelemahan yang ada kerana banyak mata bertumpu ke arah parti itu.

“Pengikut setia BN dan Umno boleh bersedih but not too much (jangan berlebihan) kerana apa yang berlaku pasti ada hikmah besar.

“Sekarang adalah proses spring cleaning iaitu keluarkan individu yang teruk (bad people) dan menukar bentuk permainan kita dengan cara mendekati dan menyelesaikan masalah kerana ramai ingin melihat Umno berubah.

“Kita harap parti yang akan membentuk kerajaan nanti akan menjaga rakyat dengan baik,” katanya.