Skip to main
Logo Malaysiakini

Dira mahu k'jaan baru, tapi biarlah BN kekal pembangkang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Khaidhirah Abu Zahar atau Dira menyeru agar kerajaan baru ditubuhkan tetapi dengan mengekalkan BN sebagai pembangkang.

Katanya, ia bagi menghormati mandat rakyat yang jelas menolak parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Selepas dua hari PRU15 melabuhkan tirai, tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan.

“Kita telah mendengar suara rakyat di kotak undi. Jelas dalam PRU15 ini, majoriti rakyat tidak mahu BN sebagai kerajaan.

“Demi menghormati mandat rakyat, adalah lebih baik bagi BN kekal sebagai pembangkang,” ujarnya hari ini.

Dira, 38, yang dulu pelakon itu berkata, menjadi pembangkang juga adalah satu tugas yang baik.

“Ia adalah tanggungjawab yang perlu digalas untuk melakukan semak dan imbang,” jelasnya.

PRU15 menyaksikan BN sekali lagi mengalami kekalahan teruk selepas pilihan raya umum ke-14.

Gabungan itu hanya menang 30 kerusi parlimen berbanding pencabarnya PH yang memperoleh 82 kerusi dan PN yang memperoleh 73 kerusi parlimen.

Tambah Dira, BN tidak wajar dibebankan untuk memilih kerajaan mana yang perlu dibentuk termasuk memutuskan ahli dewan rakyat mana yang perlu menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

“Dua blok terbesar rakyat telah memilih PN dan PH.

“Justeru, menjadi tanggungjawab mereka untuk memutuskan bentuk kepimpinan negara bagi lima tahun seterusnya,” katanya.