Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebaya ke Unesco: Pencalonan oleh M'sia, Brunei, S'pura, Thai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand bersetuju mengangkat kebaya sebagai pencalonan bersama ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity bagi tahun 2023.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan hari ini berkata semua negara itu telah berbincang dan bersetuju untuk bekerjasama, memandangkan kebaya adalah warisan bersama yang diamalkan di negara-negara rantau Asia Tenggara.

"Malaysia, Brunei, Singapura dan Thailand telah bersetuju untuk mencalonkan kebaya secara bersama kerana ia mewakili dan meraikan kekayaan warisan bersama, menggalakkan pemahaman silang budaya agar ia terus kekal diamalkan oleh pelbagai komuniti di seluruh Asia Tenggara.

"Ini merupakan peluang yang baik untuk mempromosi serta meraikan warisan bersama yang wujud di rantau ini," menurut kenyataan itu.

Motac berkata susulan persepakatan itu, Bengkel Penyediaan Borang Pencalonan Kebaya ke Unesco telah diadakan pada 1 hingga 3 Nov lepas di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menyediakan dossier pencalonan yang melibatkan wakil negara-negara berkenaan.

Kementerian itu menyebut penyerahan dokumen pencalonan oleh semua negara dijadualkan pada penghujung Mac 2023 bagi proses inskripsi pada tahun berikutnya, sekiranya pencalonan berkenaan berjaya.

Menurut kenyataan itu negara-negara yang terlibat dalam proses pencalonan ini turut mengalu-alukan penglibatan negara serantau lain untuk menyertai pencalonan bersama tersebut.

Kebaya merupakan pakaian yang melambangkan warisan budaya dan identiti orang Melayu, Peranakan Cina, Chitty dan masyarakat lain di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.

Kebaya menepati definisi elemen warisan kebudayaan tidak ketara kerana ia melibatkan kemahiran tenunan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk menghasilkan pakaian wanita tradisional.

Kebaya juga mempunyai kaitan rapat dengan bentuk warisan budaya lain seperti majlis perayaan dan perkahwinan.

Unesco di bawah Konvensyen 2003 bagi melindungi warisan kebudayaan tidak ketara amat menitikberatkan pencalonan secara bersama untuk menjadikan budaya sebagai platform persefahaman dan dialog bersama, sekali gus menjadikan proses penyenaraian sebagai peluang untuk kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.

- Bernama