Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah Azhari Zain meninggal dunia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengarah filem Azhari Zain menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.05 tengah malam tadi selepas sembilan bulan terlantar akibat serangan angin ahmar.

Berita duka itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah melalui kenyataan hari ini.

“Azhari meninggal dunia di kediaman di Sunway Alam Suria, Shah Alam, Selangor,” katanya.

Azhari, 50, mengalami strok di kedua-dua belah badan - yang mengambil masa untuk pulih - sejak Februari lalu.

Dia  dibenarkan pulang ke rumah selepas tiga bulan dirawat di hospital.

Ketika itu, keadaan kesihatan pengarah dan pelakon itu dilaporkan kritikal akibat pendarahan di kepala apabila saluran darah dalam otak tersumbat hingga menjejaskan pergerakan dan percakapan.

Bagaimanapun, proses pemulihan pengarah filem Petaka itu mula menampakkan perkembangan positif pada Julai lalu.

Namun, difahamkan tahap kesihatannya semakin merosot sejak seminggu yang lalu.

Azhari juga menjadi pengarah lakon layar yang berkarisma dalam kebanyakan filem-filem arahan Abdul Razak Mohaideen. 

Memulakan kerjaya pada 2004, arwah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.

Antara filem arahannya adalah Siku 12: Langkah Derhaka, Hantu kelima, Sabda Kekasih, Jin Notti, Zoo, Hantu Dalam Botol Kicap dan Mantra. 

Selain itu, Azhari juga pensyarah di Universiti institut Teknologi Mara Puncak Perdana dengan jawatan terakhir adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Falkulti Filem, Teater Dan Animasi. 

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wahizatul Nureen Azmi dan tiga orang anak.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Paip, Meru Klang.