Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem Spilt Gravy buat kejutan dengan dominasi pencalonan FFM32

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) menyaksikan filem Spilt Gravy arahan Zahim Al-Bakri mendominasi 14 daripada 26 kategori yang dipertandingkan.

Antara pencalonan bagi filem diadaptasi daripada karya Spilt Gravy On Rice (Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tak Ke Nasi) arahan Allahyarham Jit Murad itu ialah pelakon pembantu lelaki dan wanita terbaik, pelakon wanita terbaik, cerita asal terbaik, lakon layar terbaik dan pengarah harapan.

Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See pula meraih 13 pencalonan. Antaranya kategori cerita asal terbaik, pelakon lelaki terbaik, dan pelakon wanita terbaik dan pengarah terbaik.

Filem Juang yang digarap lima pengarah iaitu Matt Lai, Yusry Abdul Halim, Aziz M Osman, Osman Ali dan Kabir Bhatia pula mendapat tempat untuk dinilai bagi 10 pencalonan termasuk cerita asal terbaik, lakon layar terbaik dan pelakon wanita terbaik.

Selain itu, FFM32 yang bakal berlangsung pada 2 Dis depan memperlihatkan Abang Long Fadhil 3 mendapat sembilan pencalonan termasuk sinematografi terbaik, lakon layar terbaik dan pengarah terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Md Nasir Ibrahim, berkata filem yang terpilih tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu berdasarkan kepada jumlah tontonan, kutipan dan respon positif daripada penonton.

“Tidak ada kajian khusus untuk kita membandingkan kualiti filem tahun lalu dan tahun ini tapi berdasarkan sambutan, respon penonton dan kutipan Finas dapat lihat kualiti filem pada FFM kali ini lebih baik,” katanya.

Acara nasional berprestij itu merupakan inisiatif pihak kerajaan membangunkan platform festival filem nasional yang berprestij untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan karyawan industri perfileman tanah air.

Selain itu, FFM32 bertujuan menjana jaringan dan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri dengan pelaksanaan program yang mengangkat profesionalisme pihak yang terlibat.

Ia seterusnya menjadikan FFM32 sebagai satu manifestasi kepada usaha pembudayaan sinema kepada masyarakat melalui karya-karya berkualiti bagi mewujudkan sistem sokongan kepada pemerkasaan industri.

Bertemakan Filem Kita, Citra Kita edisi FFM32 ini selari kepada penjenamaan dan kecemerlangan penerbitan filem tempatan yang bergerak secara progresif seiring dengan pembangunan kualiti dan kandungan beridentitikan nilai tempatan serta berjaya mencipta impak di peringkat domestik dan antarabangsa.

Pada kemuncak anugerah itu yang berlangsung di Encore, Melaka, lebih 1,400 jemputan termasuk 250 artis tercalon serta 21 artis veteran dari Singapura dan tempatan bakal memeriahkan acara.

Dihoskan Awal Ashaari dan Sarimah Ibrahim, FFM32 akan diserikan dengan persembahan penyanyi hebat termasuk Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha, De Fam, Han Byul, Amir Masdi, dan Hazama.

Antara penyampai anugerah pula ialah Maya Karin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh, Jasmine Suraya, Faizal Hussien, Hanis Zalikha, Ashraf Muslim, Namron, Fify Azmi, Sangeeta, Zul Ariffin, dan Jason Chong.