Skip to main
Logo Malaysiakini

Wang RM100,000 dimenangi Jacyln Victor untuk simpanan anak-anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersyukur dengan kemenangan malam tadi, Juara Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), Jaclyn Victor berhajat untuk berkongsi hadiah kemenangan bernilai RM100,000 dengan anak-anaknya.

Kata Jaclyn, wang berkenaan akan diberikan kepada Jonah Joshiah Rivera, 7 dan Molly Marguerita Rivera, 5 sebagai simpanan untuk kegunaan mereka pada masa depan.

“Belum terfikir untuk perancangan lain lagi, tapi buat masa ini, yang pasti adalah saya mahu kongsikan wang itu buat dua orang anak saya sebagai simpanan masa depan mereka.

“Tak perlu belikan mainan lagi, dah cukup banyak. Saya mahu galakkan mereka menabung dan menyimpan wang,” katanya yang ditemui pada sidang media GV9 yang berlangsung di Auditorium MBSA malam tadi.

Malam tadi menyaksikan Jaclyn, 43, menewaskan lima peserta lain yang memberikan persaingan hebat bagi merebut gelaran juara.

Juri tetap, Ramli MS berkata, penyanyi itu yang memperoleh markah 85.6 peratus layak memenangi gelaran tersebut kerana berjaya memberi persembahan terbaik dalam kedua-dua segmen iaitu solo dan battle.

Menurut Jaclyn, segala kepayahan bersaing selama 11 minggu amat berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai juara GV9.

“Saya berikan yang terbaik kerana tahu peserta yang lain juga berbuat begitu. Namun, apa yang penonton lihat di televisyen tak semudah yang dibayangkan,” katanya.

Jaclyn mempertaruhkan lagu It's All Coming Back to Me Now nyanyian asal Celine Dion dan The Real Slim Shady (Eminem) serta Sang Saka Biru (Joe Flizzow, Alyph, Altimet dan Sonaone) dalam pusingan rap bersama kumpulan V.E.

Selain membawa pulang wang tunai, dia turut menerima hadiah sebuah trofi serta percutian ke Paris.

Pada masa sama, Jaclyn berkata, dia memerlukan masa rehat secukupnya sebelum kembali meneruskan kariernya sebagai penyanyi.

Katanya, sepanjang tempoh GV9 berlangsung dia memberikan sepenuh perhatian kepada persiapan persembahan dan terpaksa mengorbankan waktu bersama anak-anaknya.

“Saya katakan kepada anak-anak, kamu doakan mama akan menang GV9 dan kita semua boleh pergi bercuti.

“Saya mahu luangkan masa bersama mereka sepuas-puasnya,” ujarnya.

Jaclyn berpisah dengan suami, yang juga bekas anggota kumpulan terkenal AS, Az Yet, Shawn Rivera pada 2020 selepas lima tahun hidup bersama.