Skip to main
Logo Malaysiakini

Wings buat konsert percuma di PJ Folklore

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mempertaruhkan persembahan kumpulan rock legenda Wings secara percuma, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan 30,000 pengunjung bakal hadir ke Festival Folklore Antarabangsa 2022 (PJ Folklore 2022) pada 2 Disember ini.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya Mohammad Azhan Md Amir, konsert Wings Ceritera Rakyat menjadi daya penarik kepada pengunjung untuk sama-sama hadir menjayakan festival.

“Kami menjemput kumpulan Wings untuk menjayakan konsert yang dipanggil Wings Ceritera Rakyat kerana yakin kumpulan muzik legenda itu dapat menarik minat orang ramai untuk hadir.

“Wings akan melakukan konsert secara percuma pada 3 Disember nanti bertempat di Dataran Petaling Jaya berhadapan Amcorp Mall.

“Saya percaya masyarakat di Petaling Jaya serta sekitarnya akan hadir beramai-ramai ke persembahan ini. Malah, saya sendiri adalah peminat mereka,” katanya ketika majlis pengumuman program tersebut di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.

PJ Folklore 2022 adalah usaha sama antara MBPJ dengan beberapa pihak lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, International Council of Organizations of Folklore Festival and Folk Arts dan Pelancongan Selangor.

Festival itu berlangsung dari 28 November hingga 4 Disember ini.

Ini merupakan kali ketujuh MBPJ menganjurkan PJ Folklore yang mengetengahkan konsep kepelbagaian, keunikan, keharmonian, kesenian rakyat, budaya komuniti tempatan dan antarabangsa serta perkongsian ilmu dan ketamadunan negara serta memupuk kasih sayang dan cintakan budaya negara-negara lain.

Festival yang turut melibatkan penyertaan kebudayaan dan pameran dari beberapa negara luar itu turut membawakan pelbagai acara percuma seperti PJ Fight Night, Pocket Show dan Asian Food Festival.

Mohammad Azhan Md Amir

Antara negara luar yang turut serta dalam PJ Folklore 2022 ialah Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan.

Penyertaan dalam negara pula menyaksikan wakil dari 10 negeri di Malaysia iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

Mohammad Azhan berkata, penganjuran PJ Folklore 2022 pada masa sama bertujuan mempromosikan bandar raya Petaling Jaya sebagai sebuah kota seni serta destinasi pelancongan antarabangsa.

Katanya, ia sebuah program yang dirangka untuk menghidupkan semula pusat bandar di Seksyen 52, selain sebagai usaha membangunkan Petaling Jaya sebagai "city with soul".

“PJ Folklore 2022 juga memfokuskan usaha untuk mewujudkan ruang interaksi sosial dalam kalangan penghuni bandar.

“Selain itu, penganjuran PJ Folklores 2022 juga menjadi antara agenda Petaling Jaya untuk dilabel sebagai status bandar raya mampan,” ujarnya.

Sementara itu, Wings melalui rakaman video menyuarakan rasa teruja dan kerana MBPJ menganjurkan festival berbentuk kebudayaan kepada masyarakat.

“Wings rasa cukup teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan peminat secara percuma pada konsert itu nanti.

“Jadi kepada mereka yang ingin berhibur bersama kami, jangan lupa untuk datang ke Dataran Petaling Jaya pada 3 Disember nanti, pukul 9 malam,” kata kumpulan itu, menerusi video yang dirakam ketika mereka di KLIA untuk mengerjakan ibadah umrah.