Skip to main
Logo Malaysiakini

Nora sebak terima diploma arwah anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi Nora Ariffin menyatakan kegembiraannya apabila dapat mewakili anaknya, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan untuk menerima skrol diploma di Majlis Konvensyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ke-95 semalam.

Nora turut menyatakan dia gembira kerana arwah Alif sempat menghabiskan pengajian sebelum meninggal dunia.

”Alif ini untuk kamu, mama tolong ambilkan ya, Alhamdulillah… tahniah.

“Keluarga kecil saya tumpang bangga dan gembira dengan pencapaian anaknda Alif Johan yang sempat habiskan diploma sebelum kembali ke rahmatullah.

“Moga Alif tenang di sana,” katanya di Instagram.

Pada masa sama, Nora, 49, mengucapkan penghargaan kepada tenaga pengajar Fakulti Teater dan Animasi Universiti institut Teknologi Mara (UiTM) kerana memberi sokongan kepada anaknya itu.

“Terima kasih kepada semua tenaga pengajar UITM FITA dan sahabat yang memberi sokongan pada Alif selama hayat dia.

“Terima kasih UiTM. Semoga legasi arwah dapat diteruskan. Al- fatihah,” tulisnya.

Alif meninggal dunia pada 15 Disember 2019 kerana faktor genetik.

Nora sebelum ini kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama pada 24 Mac 2017.

Nora berkahwin dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Penyanyi Secebis Harapan itu kemudian berkahwin dengan Rushdi Ramli yang juga sahabat baik arwah suaminya.