Skip to main
Logo Malaysiakini

Konsert Padi Reborn derma RM1 bagi setiap tiket konsert terjual

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penganjur Padi Reborn 25 Years berhasrat mendermakan RM1 daripada setiap jualan tiket konsert itu kepada persatuan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak asnaf.

Menurut Pengarah Qew Comm, Rahizahwati Yahya, ia susulan tiket konsert sempena meraikan ulang tahun ke-25 band dari Surabaya, Indonesia itu yang laris terjual.

“Saya ingin kongsikan berita baik iaitu tiket konsert pada Sabtu ini dah habis terjual.

“Jadi, kami berhasrat untuk derma sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada persatuan kanak-kanak asnaf.

“Setiap RM1 daripada jualan tiket itu akan kami sumbangkan kepada persatuan berkenaan,” katanya pada sidang media Padi Reborn 25 Years yang diadakan di Hotel Tamu, di Kuala Lumpur hari ini.

Vokalis kumpulan Padi Reborn, Fadly pula memuji usaha murni penganjur malah mereka berbesar hati kerana konsert berkenaan turut menjadi platform untuk berbuat amal sambil menghiburkan Sobat Padi (gelaran untuk peminat) di sini.

“Kami amat menghargai tindakan penganjur. Semoga lebih banyak penganjur mahu terbabit kerja amal sebegini kerana ia sesuatu yang luar biasa.

“Ia amat bermakna buat kami. Berbahagi takkan rugi dan bersedekah menambah berkah,” katanya.

Konsert Padi Reborn 25 Years yang dijadual berlangsung pada 3 Dis ini di Zepp Kuala Lumpur itu turut menampilkan Ratu Jazz, Sheila Majid sebagai penyanyi jemputan.

Mengulas mengenai konsert itu, Fadly berkata, mereka amat teruja untuk membuat persembahan selepas kali terakhir mengadakan pertunjukan pada 2018 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sepanjang pandemik Covid-19, kumpulan itu “berpuasa” daripada mengadakan konsert.

“Ketika Covid-19, kami ‘berpuasa’ daripada membuat persembahan.

“Jadi sememangnya kami sangat teruja untuk membuat persembahan dan akan menyanyikan lebih banyak lagu berbanding kehadiran kami ke sini empat tahun lalu,” ujarnya.

Meskipun banyak perkara yang bakal menjadi kejutan, band terkenal Indonesia itu tidak berahsia mengenai kemunculan Sheila di pentas bersama mereka.

Kata pemain dram Yoyo, Sheila pada malam itu bakal mempersembahkan dua lagu dan satu daripadanya adalah lagu Padi Reborn.

“Sheila akan menyanyi lagu sendiri dan Padi Reborn. Kami akan saling bertukar lagu,” ujarnya.