Skip to main
Logo Malaysiakini

Alicia Amin kenang jasa Azhari Zain lepas jadi finalis FFM32

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dicalonkan dalam kategori pelakon wanita harapan pada Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) model dan pelakon Alicia Amin menyifatkan ia adalah pengalaman pahit sekali gus manis buatnya.

Kata Alicia, dia sampai ke tahap itu adalah hasil tunjuk ajar pengarah, Allahyarham Azhari Zain, yang menjadi guru lakonannya sehingga mampu bersaing dengan empat calon lain.

“Sekiranya nama saya diumumkan sebagai pemenang nanti, saya benar-benar berterima kasih pada usaha yang diberikan arwah Azhari sebagai guru lakonan.

“Walaupun hanya dua minggu bersama dengannya menjalani latihan bagi menjayakan filem The Disappearance Of Irdina Adhwa, ia cukup berbaloi,” kongsinya.

Pemilik nama penuh Raja Alicia Raja Amin itu menyifatkan teknik lakonan diajar Azhari sebagai sesuatu yang “mahal” walaupun apa dikongsikannya itu adalah perkara yang umum.

“Cara penyampaian dan bagaimana teknik yang dikongsikan itu yang saya anggap mahal,” katanya yang ditemui pada sidang media FFM32 di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Alicia, turut bersaing dalam kategori pelakon wanita harapan ialah Bernie Chan dan Joelah Chan untuk filem Spilt Gravy, Layla Sania Khairuzikri (Small Town Heroes) dan Amelia Henderson (J2: J Retribusi).

Pada acara kemuncak anugerah itu yang berlangsung di Encore, Melaka malam ini, lebih 1,400 jemputan termasuk 250 artis tercalon serta 21 artis veteran dari Singapura dan tempatan bakal memeriahkan acara.

Berada di laluan betul

Untuk rekod, Azhari meninggal dunia pada 24 Nov lalu selepas sembilan bulan menderita diserang angin ahmar.

Pengarah Jin Notti itu sebelum ini dilaporkan terkena serangan angin ahmar dan pernah kritikal apabila saluran darah dalam otaknya tersumbat.

Azhari Zain

Tambah Alicia, 27, sebagai seorang peragawati, menerima anugerah boleh diibaratkan seperti wajah seseorang model yang diberi keutamaan untuk menghiasi kulit majalah.

Katanya, dalam bidang peragaan, apabila wajah dipaparkan pada kulit depan majalah, ia bermaksud suatu penghargaan yang tertinggi.

“Bagi seorang model, pencalonan ini amat besar kerana ia boleh disamakan seperti apabila muka kami dipaparkan pada kulit majalah.

“Wajah masuk majalah tu ibarat menerima anugerah.

“Jadi, perasaan saya sekarang sama sewaktu ketika wajah saya mula-mula menghiasi kulit majalah.

“Saya juga dimaklumkan oleh segelintir orang bahawa mereka percaya dengan bakat yang ada.

“Ini bermaksud, saya berada di laluan yang betul. Saya akan terus bekerja keras dalam bidang lakonan,” ujarnya.