Skip to main
Logo Malaysiakini

Shah Rukh Khan tunai umrah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Shah Rukh Khan dilaporkan menunaikan umrah buat pertama kali selepas beberapa imej pelakon terkenal Bollywood itu berpakaian ihram mula tersebar di media sosial sejak semalam.

Melalui imej tular itu, Shah Rukh yang memakai pelitup muka dilihat dikelilingi beberapa individu dipercayai pengawal keselamatannya semasa berada di Masjidil Haram di Makkah.

Selain itu, beberapa video tular juga mengesahkan keberadaan Shah Rukh, 57, di sana.

Hindustan Times melaporkan, aktor itu menunaikan umrah selepas selesai menjalani penggambaran filem Dunki di Arab Saudi.

Filem itu diarahkan oleh Rajkumar Hirani yang dibintangi Shah Rukh dan Taapsee Pannu sebagai watak utama. Ia dijangka menjengah pawagam Disember tahun depan.

Aktor itu kemudian dijadual menghadiri Festival Filem Antarabangsa Laut Merah di Jeddah.

Berita Shah Rukh mengerjakan umrah meraih pelbagai komen positif pengguna alam maya dengan sebahagian besar mereka mendoakan agar urusan ibadah aktor itu berjalan lancar.

“Saya berasa amat emosional pada saat ini,” kata seorang warganet.

“Subhanallah. Semoga menerima ibadah yang mabrur dah Allah memberikan kamu kejayaan di dunia dan akhirat,” tulis seorang peminat lain.