Skip to main
Logo Malaysiakini

Da'i Syed terpaut pada Hana kerana suka ke majlis ilmu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendakwah bebas, Da'i Syed, menzahirkan kesyukurannya selepas selamat bergelar suami kepada pengacara Hana Ismail hari ini.

Kata Syed, isterinya itu merupakan satu anugerah kerana wanita terbabit bukan saja seorang yang lemah lembut malah gemar menuntut ilmu.

“Syukur saya menjadi suami kepada Nurulhana Ismail. Pada hari yang mulia ini kami dapat bersama-sama dengan ulama dan habaib yang mendoakan kami.

“Kami mempercepatkan proses nikah kerana tidak mahu berkawan terlalu lama, hanya sebulan setengah saja.

“Banyak keistimewaan Hana, dia bukan saja cantik malah suka ke majlis ilmu,” katanya yang ditemui selepas majlis akad nikah mereka.

Berkongsi mengenai bulan madu, Hana memaklumkan mereka akan ke Sabah dan seterusnya ke Mekah.

“Saya akan ke Sabah minggu depan atas urusan kerja dakwah. Alang-alang nak ke sana bawalah suami sekali.

“Kami akan menunaikan umrah sebulan selepas itu dan seterusnya melawat keluarga walid (ayah Syed) di Mesir,” ujarnya.

Terdahulu pasangan berkenaan selamat dinikahkan di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Syed menyerahkan mas kahwin seutas gelang, manakala wang hantaran dirahsiakan.

Majlis akad nikah itu dihadiri oleh 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat.

Pasangan itu bakal diraikan dalam majlis resepsi pada malam ini di Magica Hall, Monterez Club Shah Alam.