Skip to main
Logo Malaysiakini

Michelle Yeoh dinobat ikon 2022 oleh majalah Time

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Michelle Yeoh telah dinobatkan sebagai ikon tahun 2022 oleh majalah Time.

Ia selepas Yeoh menjadi tonggak utama dalam filem pecah panggung, Everything Everywhere All at Once awal tahun ini.

Time menyifatkan Yeoh sebagai seorang yang menongkah stereotaip serta menolak tawaran yang membawa trop yang negatif berkenaan wanita Asia sepanjang dia bergiat di Hollywood.

"Sepatutnya ini bukan tentang saya kaum apa, namun ia merupakan satu perjuangan.

"Sekurang-kurangnya biarlah saya mencuba," katanya kepada Time.

Lahir di Ipoh, Perak, wanita berusia 60 tahun itu menjadi terkenal apabila membintangi filem Hong Kong sepanjang era 1980-an dan 1990-an.

Dia cukup dikenali dengan watak wirawati yang mahir dalam seni mempertahankan diri.

Pada 1997, Yeoh melebarkan sayap ke Hollywood menerusi filem James Bond, Tomorrow Never Dies. Memegang watak Wai Lin, pengkritik filem menyifatkannya sebagai "gadis Bond" yang tidak tipikal dan menyaingi watak Bond sendiri.

Ketika Time bertanya Yeoh berkenaan potensi dicalonkan dalam anugerah Oscar bagi Everything Everywhere All at Once, dia berkata dapat merasakan beban yang digalasnya.

"Saya ada memikirkannya...dan bukan saya saja - saya rasa seluruh komuniti Asia memikirkannya. Mereka datang kepada saya dan kata, 'anda lakukannya bagi pihak kami'."