Skip to main
Logo Malaysiakini

Zamani 'curi' peluang ubati rindu peminat walau belum pulih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi Zamani Ibrahim mengakui kemunculannya di Datum Mall baru-baru ini adalah kerana dorongan keinginan mahu mengambil peluang untuk mengubati kerinduan peminat.

Menurut Zamani kehadirannya di situ juga adalah untuk sesi percubaan mengadakan persembahan selepas selesai menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang pada 7 Nov lalu.

Pada masa sama Zamani mengakui dia masih belum pulih sepenuhya malah masih perlu mempertimbangkan sebarang tawaran untuk mengadakan persembahan.

“Saya menerima tawaran kerana tempoh persembahan singkat dan lokasinya juga tidak jauh dari rumah.

“Jadi, saya mengambil peluang mengubati kerinduan peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan.

“Bagaimanapun, saya masih perlu mempertimbangkan tawaran persembahan pada waktu terdekat. Ini kerana keadaan saya masih belum pulih sepenuhnya,” kata vokalis Slam itu yang dipetik BH Online.

Tambahnya, ia adalah sesi percubaan selepas berehat hampir sebulan untuk proses pemulihan dan fisioterapi.

Terdahulu, Zamani, 51, menjalani pembedahan tulang belakang yang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras.

Penyanyi lagu Sinar Menunggu itu dibenarkan keluar selepas tiga hari pembedahan dan menjalani rawatan pemulihan di rumah.

Doktor memaklumkan Zamani akan pulih dan boleh kembali aktif semula dalam tempoh tiga bulan namun ia banyak bergantung kepada kekuatan antibodi.

Menurut Zamani lagi, dia perlu banyak berehat dan menjalani rawatan susulan, selain mengikuti sesi fisioterapi dua kali setiap seminggu untuk memastikan keadaan fizikal kuat dan stabil.

“Saya juga ingin menyiapkan diri dalam keadaan terbaik dan lebih bertenaga untuk acara persembahan akan datang.

“Apa pun, saya berterima kasih kepada peminat yang sangat prihatin terhadap perkembangan saya selepas menjalani pembedahan,” katanya.