Skip to main
Logo Malaysiakini

Altimet memang serah hak, royalti Aduh Malaysia buat waris P Ramlee

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi rap Altimet sekadar mengucapkan “alhamdulillah” apabila lagu olahan dan nyanyiannya untuk PH sebaliknya digunakan penyokong PN bagi meraikan kemenangan calon mereka di Padang Serai malam tadi.

Terdahulu beberapa video tular menunjukkan penyokong PN menggunakan lagu berjudul Aduh Malaysia bersorak selepas calon mereka, Azman Narudin, menang besar di Padang Serai apabila menguasai kerusi parlimen berkenaan dengan majoriti 16,260 undi.

“Alhamdulillah,” kata Altimet ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad itu berkata, dia tidak mendapat sebarang keuntungan atau laba melalui lagu Aduh Malaysia - yang digubah berdasarkan karya Allahyarham P Ramlee, Hoi Hoi Ya Hoi.

Sebaliknya kata Altimet, hak cipta lagu berkenaan dilepaskannya kepada keluarga atau waris seniman agung Malaysia berkenaan.

Menurut Altimet, 44, dia memang berniat untuk berbuat demikian sejak awal dia mencipta dan mengolah lagu tersebut.

“Komposer asal lagu itu ialah P Ramlee, manakala saya adalah penulis lirik (Aduh Malaysia). Tapi saya lepaskan (hak cipta) semuanya. Memang saya dah berniat dari awal macam itu,” katanya.

Lupus selepas 50 tahun

Terdahulu, seorang pengguna Twitter menciap dan menanda Altimet bagi menggesa dia menuntut royalti daripada PN kerana penyokong parti terbabit menggunakan Aduh Malaysia sebagai modal untuk menyindir PH.

Namun, Altimet menjawab, dia sememangnya tidak mahu mengambil walau satu sen pun royalti daripada lagu berkenaan.

“Saya memang tak nak.

“Sebenarnya saya lepaskan semua royalti lagu ini pada waris Allahyarham P Ramlee. Tahun 2022 antara tahun terakhir untuk waris-warisnya terima hasil harta intelek dia.

“Hak ini lupus 50 tahun selepas pencipta meninggal dunia. Lagi ramai orang menyanyi lagu allahyarham, lebih banyak mereka (waris) akan dapat,” katanya.

Untuk rekod Hoi Hoi Ya Hoi adalah lagu yang dipaparkan P Ramlee dalam filem komedi, Ali Baba Bujang Lapok, yang diterbitkan pada 1961.

Selain P Ramlee sendiri, ia turut dibintangi S Shamsuddin dan Aziz Sattar.

Altimet - yang menyertai PKR sebelum PRU lalu - kemudian mengolah semula lagu berkenaan untuk digunakan dalam kempen PH.